1,035 kaki judi ditahan dalam Op Limau

Rohaimi (tengah) menunjukkan jenis perjudian yang dirampas ketika Op Limau pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Rohaimi (tengah) menunjukkan jenis perjudian yang dirampas ketika Op Limau pada sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 1,035 individu termasuk 70 wanita ditahan polis kerana terlibat dengan kegiatan perjudian haram menerusi Op Limau sempena perayaan Tahun Baharu Cina yang dijalankan di seluruh negara bermula 1 Februari hingga semalam.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kesemua suspek warga tempatan berusia antara 20 hingga 68 tahun itu ditahan menerusi 176 serbuan yang dijalankan di seluruh negara.

Menurutnya, melalui serbuan itu polis turut merampas wang tunai RM650,869 serta perkakasan perjudian.

"Rata-rata kegiatan perjudian itu dilakukan di kawasan terbuka seperti premis rumah kedai, rumah pemain judi dan di restoran," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Rohaimi berkata, operasi tahun ini amat memberangsangkan kerana polis mencatatkan peningkatan 151 peratus, iaitu 176 serbuan berbanding hanya 70 berjaya dilakukan dalam tempoh sama tahun lalu.

"Polis percaya pencapaian yang menggalakkan ini adalah hasil kerjasama masyarakat yang menyalurkan maklumat dan aduan menerusi talian hotline judi yang dibuka tahun lalu," katanya.

Menurutnya lagi, menerusi Op Limau polis dapat mengesan satu modus operandi baharu digunakan sindiket perjudian yang berlaku di Ipoh, Perak.

"Berselindung dengan kegiatan judi tradisional, judi bola ping-pong di tingkat bawah bangunan sindiket telah menyediakan perjudian lebih moden ditingkat atas premis. Sindiket dikesan menggunakan projektor untuk kegiatan perjudian simulator dan kaki judi boleh menggunakan alat kawalan jauh untuk menjalankan pertaruhan.

Artikel Berkaitan:

"Projektor disambung kepada satu papan “motherboard” yang diambil daripada mesin simulator perjudian yang sebelum digunakan di dalam Pusat Hiburan Keluarga. Permainan seperti wukong, permainan slot maharaja dan mesin tembak ikan dimanupulasi dengan menggunakan projektor," katanya.

Rohaimi menambah, Op Limau bermula sejak 1 Februari lalu dan akan berakhir pada 24 Februari depan.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan perjudian haram boleh terus menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya lagi.