UMNO Perak akan tanding di tiga kawasan

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

KUALA LUMPUR - UMNO Perak menegaskan akan kekal bertanding di tiga kawasan yang pernah dimenanginya sebelum ini.

Wakil UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, UMNO akan bertanding di kawasan Larut, Bukit Gantang dan Bagan Serai dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

”Saya isytiharkan sekali lagi UMNO Perak kekal tegas dengan apapun yang akan berlaku,” katanya semasa berucap membahaskan usul Presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Ahad.

Saarani yang juga Menteri Besar Perak turut mempersoalkan tindakan sesetengah kawasan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri berkenaan mencuri ahli-ahli UMNO.

”Soalannya tak ada orang Melayu lain ke yang boleh diambil menjadi ahli Bersatu? Mengapa ahli UMNO juga dicari? Mengapa ahli UMNO juga dicuri?,” soalnya.

Dalam ucapannya juga, Saarani menyentuh mengenai mengapa tidak mahu bekerjasama dengan Bersatu berbanding mereka boleh melakukannya dengan Pas.

”Kalau boleh berkompromi dengan Pas, kenapa tidak dengan Bersatu. Dalam hal ini, ingin saya tegaskan bahawa jangan ada yang mahu mempersoalkan kesetiaan UMNO terhadap Muafakat Nasional (MN) bersama Pas.

”Ingatlah bahawa piagam ini tidak dibentuk untuk mengekalkan kuasa politik. Ia dibentuk ketika UMNO-Pas tidak punya apa-apa. Diherdik dan dicaci sepanjang menjadi pembangkang. UMNO-Pas teguh bermuafakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Saarani, UMNO tidak pernah secara senyap-senyap mencuri ahli Pas dan sebaliknya.

”Dalam pilihan raya, ketika UMNO bertanding, Pas dan seluruh jenteranya setia membantu. Sepanjang pertempuran di medan pilihan raya, Pas tidak pernah meletakkan calon bebas untuk mengalahkan UMNO.

”Pendek kata, UMNO dan Pas kedua-duanya saling menguatkan, bukan melemahkan. Hubungan ini tidak dibayangi kesangsian kerana muafakat yang terbina itu berpaksikan kepada sikap kejujuran dan keikhlasan,” katanya.