Kerajaan Johor cadang beli vaksin sendiri

Mohd Izhar (kanan) cuba membuat burger pada Majlis Pelancaran Wisma OSB Global Resources Sdn Bhd di Iskandar Puteri, pada Ahad.
Mohd Izhar (kanan) cuba membuat burger pada Majlis Pelancaran Wisma OSB Global Resources Sdn Bhd di Iskandar Puteri, pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan Johor akan mencari jalan agar pelaksanaan program vaksinasi Covid-19 dapat dijalankan terhadap semua penduduknya termasuk berkemungkinan membeli sendiri vaksin atas kapasiti negeri.

Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor, Datuk Mohd Izhar Ahmad berkata, perkara tersebut ada dibincangkan dalam mesyuarat Exco sebelum ini namun masih belum dimuktamadkan.

"Rancangan membeli sendiri vaksin Covid-19 hanya akan dilakukan sekiranya program vaksinasi terbantut kerana Johor lambat menerima vaksin terbabit namun ia akan melibatkan kos yang besar.

"Program vaksinasi penting di negeri ini untuk kegiatan ekonomi dan sosial penduduk apatah lagi ramai penduduk Johor sebelum ini bekerja di negara jiran serta berharap sempadan Malaysia-Singapura dibuka semula," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas pelancaran Wisma OBS di Kawasan Perindustrian Kawasan Perindustrian Nusabayu sini pada Ahad dan turut hadiri Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif OSB, Muhammad Dinie Mohamed.

Dalam pada itu, Mohd Izhar meminta orang ramai tidak terpengaruh dengan berita tular bahawa vaksin Covid-19 berbahaya atau tidak selamat di media sosial.

"Ramai pihak telah mengambil vaksin ini terutama 'frontline' dan tiada masalah timbul. Rekod mereka yang mendaftar untuk vaksinasi masih rendah dan di bawah sasaran iaitu cuma kira-kira 20 peratus sahaja," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan membantu orang ramai terutama warga emas untuk mendaftar menerusi program Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang diadakan nanti.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan buka kaunter, beri penerangan dan bantu warga emas yang tidak pandai menggunakan telefon pintar untuk mendaftar program vaksinasi berkenaan dari semasa ke semasa," katanya.

Selain itu beliau berkata, kerajaan negeri komited membantu individu yang terkesan sehingga pendapatan terjejas dan kehilangan pekerjaan akibat pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ketika ini.

"Walaupun dalam tempoh pandemik, ekonomi masih berjalan dan masih terdapat peluang pekerjaan yang ditawarkan beberapa pihak, selain turut peluang menceburi bidang perniagaan kecil-kecilan.

"Jadi saya menyeru masyarakat untuk mengambil peluang yang ada bagi memastikan mereka dapat terus menjamin kehidupan walaupun dalam keadaan mencabar ketika ini," ujarnya.

Dalam masa sama, pihaknya berharap setiap individu agar mendaftarkan diri dalam mana-mana agensi kerajaan bagi membantu kerajaan mendapatkan statistik jumlah mereka yang terkesan ketika ini.

"Sukar untuk kita mendapatkan jumlah sebenar individu yang terjejas akibat pandemik Covid-19, kerana ada antara mereka tidak mendaftar," jelasnya.