Sasar 70 peratus rakyat Kelantan ambil vaksin Covid-19

Dr Zaini (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan one-off kepada pesakit tibi sempena Hari Tibi Sedunia di HRPZ II, Kota Bharu pada Ahad.
Dr Zaini (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan one-off kepada pesakit tibi sempena Hari Tibi Sedunia di HRPZ II, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menyasarkan sebanyak 70 peratus rakyat negeri ini mendaftar untuk program vaksinasi Covid-19 dalam tempoh setahun.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Husin berkata, pihaknya mengakui kadar kesedaran rakyat Kelantan untuk mendaftar ketika ini adalah kurang berbanding negeri-negeri lain.

Oleh itu, beliau telah menyuarakan perkara tersebut supaya semua pihak sama ada agensi kerajaan negeri atau Pusat supaya dapat menggembleng tenaga membantu menyelesaikan perkara tersebut.

"Memang kita akui perkara tersebut sebagaimana yang kita sebut sebelum ini. Kita menyediakan banyak rangkaian untuk memudahkan rakyat mendaftar vaksinasi Covid-19.

"Oleh sebab itu kita menyasarkan 70 peratus daripada rakyat negeri ini untuk mendaftar dalam tempoh kurang dari setahun ini," katanya kepada pemberita di sini pada Ahad.

Beliau ditemui ketika majlis penyerahan bantuan 'one-off ' kepada pesakit tibi sempena Hari Tibi Sedunia di Dewan Datuk Abdul Aziz, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.

Dr Zaini berkata, pihaknya juga menyedari kemungkinan kekangan penggunaan teknologi oleh golongan warga emas memberi impak kepada sambutan tersebut.

Sehubungan itu, beliau berkata, golongan warga emas boleh mengisi borang secara manual yang disediakan di masjid-masjid dan melalui saluran lain yang lebih mudah.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin akan berlaku peningkatan sambutan selepas ini. Walau apa pun, yang pentingnya ialah kesedaran individu untuk mengambil vaksin," katanya.