X

Kindly register in order to view this article
!

'Kurang sesuai bandingkan polis dengan pengakap'

Dr Mohd Zin
A
A

KUALA LUMPUR - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) percaya Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman, Datuk Ramli Din tidak mempunyai sebarang niat dalam kenyataannya ketika membuat perbandingan antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pengakap dalam soal pertukaran tempat bertugas pegawai dan anggota.

Pemangku Ketua Pengakap Negara, Mejar Jeneral (B) Profesor Datuk Dr Mohd Zin Bidin berkata, PPM kekal positif dan percaya beliau (Ramli) tidak berniat memberi persepsi bernada negatif dan skeptikal terhadap pengakap.

Menurutnya, namun begitu kenyataan yang dikeluarkan akhbar telah menimbulkan rasa terkilan dalam kalangan warga pengakap seluruh negara memandangkan konteks perbandingannya kurang tepat.

"Sebagai sebuah organisasi sukarela yang memfokuskan kepada latihan pembangunan modal insan dan kemahiran serta memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan remaja, perbandingan antara polis dan pengakap bukanlah wajar.

"PPM adalah organisasi pembangunan belia bertaraf dunia yang memiliki keahlian seramai 55 juta ahli di 171 buah negara dan telah melatih golongan remaja dan belia," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau yang juga merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara berkata, sebelum ini satu pertemuan juga telah diadakan dengan Ketua Polis Negara pada 12 November tahun lalu di Bukit Aman dengan intipati perbincangan utama adalah memupuk kerjasama antara PPM dan PDRM ke arah menyumbang modal insan negara.

Katanya, ia sealiran dengan moto PPM iaitu "Pengakap Mentransformasikan Generasi" dan moto PDRM "Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada".

"Oleh itu, PPM meminta semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham serta persepsi negatif terhadap PPM," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!