Petisyen pilihan raya Tasek Gelugor dibatalkan

shabudin-marzuki
shabudin-marzuki
A
A
A

GEORGETOWN - Mahkamah Pilihan Raya hari ini membatalkan petisyen pilihan raya Parlimen Tasek Gelugor yang difailkan oleh calon Bersatu, Datuk Marzuki Yahya yang mencabar keputusan PRU14 bagi kawasan berkenaan.

Hakim, Datuk Hashim Hamzah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan kedua-dua pihak, Marzuki selaku pempetisyen dan responden, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya ketika pengurusan kes di dalam kamarnya di sini.

Dalam kenyataan bersama mereka di luar mahkamah, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali dan Azlina Mehtab Mohd Rauf yang mewakili Marzuki serta Simon Tan yang mewakili Shabudin berkata, kedua-dua pihak bersetuju dan sependapat supaya petisyen dibatalkan.

Muhammad Rafique berkata, ia mengambil kira beberapa situasi yang berlaku dan memandangkan dari segi teknikal.

“Kami berdua mempercayai bahawa ia adalah lebih bermanfaat untuk dibatalkan atas alasan kami tidak mahu membazir masa mahkamah.

“Jadi, mahkamah membuat keputusan untuk membatalkan petisyen tersebut dan kes selesai hari ini. Shabudin kekal sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor," katanya kepada media.

Muhammad Rafique berkata, mahkamahn turut memerintah Marzuki membayar kos RM5,000 kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang juga responden ketiga kes itu.

Pada PRU14, Marzuki yang juga Pengerusi Bersatu Pulau Pinang kalah tipis kepada Shabudin daripada BN dengan perbezaan 81 undi,

Artikel Berkaitan:

Pada pertandingan tiga penjuru kerusi berkenaan, Shabudin memperoleh 18,547 undi, Marzuki (18,466) dan calon PAS, Rizal Hafiz Ruslan (14,891).

Pada 12 Jun lalu, Marzuki yang juga Timbalan Menteri Luar memfailkan petisyen pilihan raya bagi menuntut pilihan raya kecil diadakan untuk kerusi Parlimen Tasek Gelugor dan pengiraan semula 689 undi rosak serta 297 undi pos yang tidak dikembalikan.

Dalam petisyennya, Marzuki menamakan Shabudin sebagai responden pertama, Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tasek Gelugor responden kedua dan SPR responden ketiga.

Pada 18 September lalu, Mahkamah Pilihan Raya di sini menolak petisyen Marzuki selepas membenarkan bantahan awal dikemukakan Simon yang berhujah bahawa petisyen itu mempunyai kecacatan.

Bagaimanapun, pada 28 November lalu, Mahkamah Persekutuan memerintahkan petisyen pilihan raya Tasek Gelugor dibawa semula ke Mahkamah Pilihan Raya Pulau Pinang untuk pendengaran penuh.

Pada Disember lalu, Shabudin mengumumkan keluar daripada UMNO yang juga parti komponen BN dan memohon menyertai Bersatu.

Selasa lalu, Shabudin disahkan sebagai anggota Bersatu. - Bernama