Hari Polis: Noh imbau perjuangan isu pemakaian tudung polis wanita

Noh (kiri) menyerahkan kek kepada wakil Balai Polis Tanjong Karang sempena Hari Polis ke-214 di sini pada Khamis.
Noh (kiri) menyerahkan kek kepada wakil Balai Polis Tanjong Karang sempena Hari Polis ke-214 di sini pada Khamis.
A
A
A

TANJONG KARANG - Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar menyifatkan sambutan Hari Polis ke-214 pada Khamis memberi pengertian amat bermakna semasa beliau menjawat jawatan Timbalan Menteri Dalam Negeri pada tahun 2004.

Mengimbau perkara itu, Noh berkata, beliau bersama bekas Ketua Polis Negara, Allahyarham Tan Sri Mohd Bakri Omar pada masa itu memperjuangkan pemakaian tudung dalam kalangan polis wanita beragama Islam.

Menurutnya, beliau berjaya membawa cadangan pemakaian tudung itu kepada Tun Abdullah Ahmad Badawi yang merupakan perdana menteri pada waktu itu.

"Saya bersama-sama Allahyarham Tan Sri Mohd Bakri telah mengutarakan cadangan pemakaian tudung pada waktu itu kepada 'Pak Lah' (Tun Abdullah) yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri pada waktu itu.

"Alhamdulilah, cadangan pemakaian tudung diluluskan dalam pemakaian seragam polis wanita Islam," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kek di Balai Polis Tanjong Karang sempena Hari Polis ke-214 di sini pada Khamis.

Noh berkata, selain pemakaian tudung, beliau juga mengutarakan idea bagi penubuhan 'Rakan Cop' yang melibatkan komuniti setempat untuk membantu polis dalam membanteras jenayah.

Katanya, Rakan Cop yang ditubuhkan pada Ogos 2014 itu ternyata mencapai objektif penubuhannya dengan memberi lebih banyak peluang kepada masyarakat bekerjasama dengan polis serta terlibat secara langsung dengan pencegahan jenayah.

"Dua perkara itu masih saya ingat semasa menjawat jawatan itu (Timbalan Menteri Dalam Negeri) dan sehingga kini saya amat menghargai peranan dan tanggungjawab besar dipikul anggota keselamatan bagi menjaga kedaulatan, keamanan dan ketenteraman tanah air," katanya.

Artikel Berkaitan:

Noh berkata, di peringkat Parlimen Tanjong Karang beliau juga turut memberi keutamaan kepada kebajikan polis yang menetap di berek Balai Polis Tanjong Karang.

Katanya, sebanyak RM1. 6 juta diperuntukkan pada tahun 2017 untuk membaik pulih kesemua 16 berek polis yang terbiar di kawasan terbabit.

"Selepas kerja-kerja membaik pulih berek polis ini dilaksanakan, kita dapati mereka kembali menghuni berek polis dalam keadaan persekitaran lebih selesa," katanya.