GKP bantu peniaga mikro

Geran Khas Prihatin (GKP) memberi suntikan kewangan kepada peniaga untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. Gambar kecil; Madeline dan Ahmed Razman
Geran Khas Prihatin (GKP) memberi suntikan kewangan kepada peniaga untuk meneruskan kelangsungan perniagaan. Gambar kecil; Madeline dan Ahmed Razman
A
A
A

SHAH ALAM - Langkah proaktif kerajaan menyalurkan bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) dilihat sangat efektif bagi membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro kerana ia memberi suntikan kewangan kepada mereka meneruskan kelangsungan perniagaan.

Pakar ekonomi daripada Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, suntikan kewangan itu sangat membantu PKS mikro yang terjejas dan kehilangan sumber pendapatan.

"Menerusi pemberian bantuan one-off di bawah GKP, PKS mikro memperoleh bantuan dalam bentuk tunai, sekali gus membantu mereka menyelesaikan keperluan kewangan semasa dengan segera.

"Kelebihan bantuan GKP adalah ia dalam bentuk suntikan kewangan dan bukan pinjaman, jadi manfaatnya sangat besar kepada peniaga mikro yang sememangnya memerlukan wang," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Menurutnya, GKP diperkenalkan kerajaan di bawah pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) PKS Tambahan untuk membantu peniaga-peniaga mikro yang terkesan dengan penularan Covid-19 sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac tahun lalu.

"Menerusi GKP 1.0, peniaga mikro menerima one-off sebanyak RM3,000 seorang dan ia diteruskan dengan pemberian GKP 2.0 yang disasarkan kepada lebih ramai peniaga mikro yang belum menerima bantuan tersebut.

"Kerajaan meneruskan pemberian bantuan itu menerusi GKP Tambahan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai), terbaharu GKP 3.0 yang diumumkan Perdana Menteri melalui Perutusan Khas Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) pada 17 Mac lalu," katanya.

Ahmed Razman berkata, kesemua GKP itu adalah inisiatif berterusan dan bukan secara 'stand alone' kerana pandemik Covid-19 yang berlarutan lebih setahun ini menyebabkan kemelesetan ekonomi dalam jangka masa agak lama.

Artikel Berkaitan:

Oleh itu, katanya, penting PKS mikro dibantu sepanjang tempoh kemeruduman ekonomi bagi membantu kelangsungan dan kemampanan perniagaan mereka.

"PKS mikro menyumbang hampir 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menggaji sekitar 70 peratus tenaga kerja di Malaysia," katanya.

Sementara itu, pakar ekonomi yang merupakan Felo Akademi Sains Malaysia, Datuk Dr Madeline Berma berkata, mengambil kira GKP 1.0, GKP 2.0 dan GKP Tambahan Permai yang diluluskan, jumlah keseluruhan penerima GKP adalah hampir 900,000 PKS mikro dengan jumlah bantuan sebanyak RM3.58 bilion.

Menurutnya, bantuan kerajaan dan normal baharu kehidupan juga merancakkan lagi perniagaan jualan atas talian serta gig ekonomi.

"Namun, yang paling lega adalah PKS mikro yang bisnes mereka sudah capai tahap 'hidup segan mati tak mahu' atau hampir gulung tikar," katanya.

Dalam pada itu, pengusaha kedai gunting rambut dan salun kecantikan, Mastura Abdul Manaf, 50, berkata, bantuan GKP yang diterima membolehkan premisnya dapat terus dibuka sehingga kini.

Mastura
Mastura

"Saya guna wang GKP untuk tampung perbelanjaan kedai. Selepas kedai gunting rambut dibenarkan beroperasi semula, kami perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan seperti menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) dan cecair pembasmi kuman.

"Saya juga belanjakannya sebagai modal pusingan dan untuk pembayaran bil utiliti yang tertunggak," katanya.

Pembekal perisian dan perkakasan komputer, Mohammad Amirul Firdaus Zaidi, 29, pula berkata, 'one-off' GKP yang diberikan kerajaan membantunya menambah stok untuk jualan di premisnya.

"Bantuan ini sememangnya membantu kelangsungan bisnes saya kerana saya juga gunakannya sebagai modal pusingan.

"Bantuan inilah yang beri semangat kepada peniaga kecil seperti kami untuk terus berniaga walaupun pelanggan berkurangan," katanya.

Mohammad Amirul Firdaus
Mohammad Amirul Firdaus

Dalam perkembangan sama, pengusaha kedai insurans dan cukai jalan kenderaan, Nurul Syafiqa Mohd Jasmin, 25, berkata, bantuan GKP yang diterima digunakan untuk membeli kelengkapan kedai bagi memastikan perkhidmatan lebih cekap dan cepat dapat diberikan kepada pelanggan.

"Menjalankan bisnes yang menawarkan perkhidmatan, saya utamakan kepuasan pelanggan, jadi saya tambah baik kemudahan di kedai.

"Saya juga gunakan bantuan ini untuk tampung bayaran sewa kedai. Terima kasih kepada kerajaan yang prihatin terhadap nasib peniaga kecil seperti kami," katanya.

INFO

GKP 1.0

Jumlah penerima: 544,688

Kadar: RM3,000

Tarikh bayaran: Jun 2020

Jumlah bayaran: RM1.6 bilion

GKP 2.0

Jumlah penerima: 303,819

Syarat: Bukan penerima GKP 1.0

Kadar: RM3,000

Tarikh bayaran: November 2020

Jumlah bayaran: RM911 juta

RAYUAN GKP 2.0

Jumlah penerima: 51,532

Kadar: RM3,000

Tarikh bayaran: Februari 2021

Jumlah bayaran: RM155 juta

GKP TAMBAHAN PERMAI

Jumlah penerima: 900,039

Syarat: Bukan penerima GKP 1.0 & 2.0

Kadar: RM500 atau RM1,000

Jumlah bayaran: RM883 juta

GKP 3.0

Jumlah penerima: 1.2 juta

Syarat: Bukan penerima GKP 1.0 & 2.0

Pendaftaran: Akan dibuka pada April 2021

Pembayaran: Mei 2021

Nota: GKP 3.0 dibuka untuk permohonan baharu untuk perniagaan yang berdaftar sehingga 28 Februari 2021