X

Kindly register in order to view this article
!

MAIWP sasar Kuala Lumpur bebas kemiskinan

Mohd Nizam (kiri) dan Mohd Daud (tengah) merasmikan Program Transfornasi Anaf Jaya Baitulmal MAIWP (PROTAJ) di Dewan Seminar MAIWP, Bangunan PERKIM, di sini pada Khamis.
A
A

KUALA LUMPUR- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan Bandaraya Kuala Lumpur bebas daripada kemiskinan dalam tempoh tiga tahun.

Pengerusinya, Datuk Dr Mohd Daud Bakar berkata, MAIWP mahu mewujudkan satu ekosistem baharu membabitkan bantuan kepada golongan asnaf sehingga mereka menjadi pembayar zakat dan membantu asnaf yang lain.

Menurutnya, asnaf terbabit tidak akan mampu keluar daripada kemiskinan jika hanya diberi bantuan perniagaan tanpa latihan.

"Kita mahu golongan asnaf bergraduasi daripada penerima zakat kepada pembayar zakat.

"Pengagihan bantuan adalah inisiatif yang mudah namun membebaskan mereka daripada belenggu kemiskinan lebih sukar untuk dilakukan," katanya pada Majlis Pelancaran Transformasi Asnaf Jaya Baitulmal (Protaj) di Bangunan PERKIM, di sini pada Khamis.

Protaj merupakan salah satu inisiatif daripada MAIWP yang bukan sekadar memberikan bantuan kepada asnaf, malah menyediakan platform kepada mereka untuk mengembangkan perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi.

Mohd Daud berkata, sebanyak RM15 juta diperuntukkan kepada 5,000 penerima daripada golongan tersebut dengan bantuan sehingga RM3,000.

Tambahnya, program tersebut merangkumi tiga komponen iaitu Bantuan Musa'adah Tijariyyah, kerjasama latihan kemahiran industri dan menghasilkan ikon asnaf usahawan jaya.

“Bantuan Musa'adah Tijariyyah ialah bantuan baharu yang diperkenalkan oleh MAIWP kepada mereka yang ingin memula atau mengembangkan perniagaan sedia ada.

“Berbeza dengan bantuan perniagaan lain ditawarkan oleh MAIWP, ia tidak mensyaratkan pemohon memiliki sijil Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang sah selama enam bulan, sebaliknya mereka yang mendaftar dengan SSM selama dua bulan dan aktif layak memohon bantuan ini,” katanya.

Permohonan dibuka pada 25 Mac hingga 5 April 2022 secara dalam talian di laman sesawang MAIWP atau kaunter-kaunter Baitulmal MAIWP Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) MAIWP, Mohd Nizam Yahya berkata, sebanyak tiga hingga lima peratus daripada 21,500 asnaf yang menerima skim bantuan keluar daripada kepompong kemiskinan.

“MAIWP sentiasa memantau prestasi perniagaan golongan asnaf untuk terus membantu mereka bebas daripada kemiskinan.

“Jika mereka menunjukkan prestasi yang baik, kita akan tukarkan kepada skim perniagaan yang melayakkan mereka menerima bantuan maksimum RM30,000 bagi merancakkan perniagaan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!