Ringgit dibuka susut pada 4.1330 berbanding dolar AS

No Image Caption
A
A
A

RINGGIT terus susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sewaktu pasaran dibuka pada Khamis ketika permintaan terhadap unit negara maju itu mengukuh susulan kebimbangan mengenai peningkatan semula kes Covid-19 serta sekatan pergerakan di peringkat global.

Pada 9 pagi, ringgit menyusut kepada 4.1330/1380 berbanding dolar AS daripada 4.1290/1320 pada akhir urus niaga Rabu.

Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata, pelaksanaan semula sekatan pergerakan di Eropah dan kemunculan semula kes Covid-19 di serata dunia kini menjejaskan harapan untuk melihat pembukaan semula aktiviti perjalanan udara ketika cuti musim panas.

Malah, ini turut mencetuskan kebimbangan mengenai penularan semula virus itu di peringkat global.

Menurut laporan media, beberapa negara Eropah bertindak melaksanakan semula sekatan pergerakan ketika gelombang ketiga pandemik itu menular dan membabitkan varian baharu yang lebih berbahaya dengan kes pertamanya di Britain.

“Walaupun peningkatan harga minyak boleh mendorong ringgit dan mengekangnya daripada susut, namun ini masih tidak cukup untuk melonjakkan mata wang itu dengan lebih ketara,” katanya kepada Bernama.

Laporan menyatakan bahawa minyak mentah Brent yang juga penanda aras global, susut kepada kepada AS$60.86 setong pada Selasa lepas daripada paras tertingginya, AS$69.63 setong pada 11 Mac, 2021 sebelum melantun semula kepada hampir AS$64 setong pada Rabu.

Setakat pagi Khamis, harga minyak mentah Brent berada pada paras AS$64.07 setong -- naik 0.53 peratus daripada sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

Pada awal urus niaga, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang lain kecuali dolar Singapura yang menyaksikannya susut kepada 3.0701/0745 daripada 3.0690/0719.

Ringgit mengukuh berbanding yen kepada 3.7956/8012 daripada 3.8006/8037, meningkat berbanding euro kepada 4.8827/8903 daripada 4.8858/8910 dan tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6601/6686 daripada 5.6687/6741. - Bernama