Harga minyak susut, ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS

Pada 6 petang Isnin, ringgit turun ke paras 4.6030/6060 berbanding dolar AS daripada 4.5970/6035 yang dicatatkan pada akhir urus niaga Jumaat lepas. - Gambar hiasan
Pada 6 petang Isnin, ringgit turun ke paras 4.6030/6060 berbanding dolar AS daripada 4.5970/6035 yang dicatatkan pada akhir urus niaga Jumaat lepas. - Gambar hiasan
A
A
A

RINGGIT susut daripada pengukuhannya pada minggu lepas apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Isnin, susulan penurunan harga minyak mentah serta jangkaan kenaikan kadar faedah di negara maju itu pada bulan depan.

Malah, unjuran kenaikan kadar faedah itu terus mengasak ringgit biarpun persetujuan awal berkaitan had paras hutang AS telah dicapai.

Pada 6 petang ini, ringgit turun ke paras 4.6030/6060 berbanding dolar AS daripada 4.5970/6035 yang dicatatkan pada akhir urus niaga Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit bergerak dalam jajaran RM4.60 berbanding dolar AS hari ini.

Bercakap kepada Bernama, beliau berkata, dolar AS kekal di landasan stabil berikutan jangkaan kenaikan kadar faedah pada bulan depan.

Mengulas had siling hutang AS yang memberi impak buruk ke ayas mata wang lain, beliau berkata, tumpuan seterusnya adalah sesi pengundian ahli kongres AS mengenai perkara itu pada Rabu ini.

Presiden Joe Biden telah menggesa Kongres meluluskan perjanjian had hutang tentatif yang dicapai dalam pertemuannya dengan Speaker Dewan, Kevin McCarthy pada akhir minggu lepas.

Menurut laporan stesen penyiaran BBC, sekiranya diluluskan, ia akan membenarkan kerajaan AS membuat pinjaman sehingga selepas pilihan raya presiden seterusnya yang dijadualkan pada November 2024.

Mohd Afzanizam berkata, pada masa ini, paras rintangan dan sokongan bagi ringgit masing-masing pada RM4.6257 dan RM4.5491 berbanding dolar AS.

“Kami mengunjurkan julat lebih kecil bagi gandingan dolar AS/ringgit akan berterusan sehingga isu had paras hutang AS itu selesai,” katanya.

Pada akhir urus niaga hari ini, prestasi ringgit kebanyakannya mengukuh berbanding kumpulan mata wang utama.

Ringgit hampir tidak berubah berbanding pound Britain pada 5.6829/6866 daripada 5.6819/6899 pada Jumaat, meningkat berbanding euro pada 4.9330/9363 daripada 4.9340/9409 dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2820/2844 daripada 3.2918/2967.

Berbanding mata wang Asean, ringgit sebaliknya mencatat prestasi bercampur-campur.

Unit tempatan itu mendatar berbanding rupiah Indonesia kepada 307.3/307.7 daripada 307.3/307.9 minggu lepas, mencatat penurunan kecil pada 3.4016/4043 berbanding dolar Singapura daripada 3.4012/4062 dan meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2316/2463 daripada 13.2539/2784.

Ringgit juga mengukuh berbanding peso Filipina pada 8.20/8.21 daripada 8.24/8.25, sebelum ini. - Bernama