X

Kindly register in order to view this article
!

Tingkat keupayaan anggota PDRM berdepan ancaman moden

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) ketika hadir pada perbarisan sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini. 
-Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Polis Diraja Malaysia (PDRM) harus memperkasakan keupayaan anggota dalam menguasai perundangan negara selain melengkapkan aset, peralatan dan senjata canggih dalam usaha bergerak ke hadapan bagi mendepani cabaran dan ancaman moden yang semakin mencabar.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PDRM perlu mempertingkat penyertaan anggota serta pegawai PDRM dalam latihan, kursus atau persidangan yang dianjurkan bukan hanya di dalam negara malahan di peringkat antarabangsa bagi memperoleh pendedahan dan perkongsian lebih global dan terkini.

"Kolaboratif dan kerjasama strategik di peringkat antarabangsa yang dijalinkan oleh PDRM selama ini mampu meletakkan pasukan keselamatan negara ini sebaris dengan pasukan keselamatan dari negara luar seperti Scotland Yard, Royal Military Police United Kingdom dan Hong Kong Police Force," katanya.

Beliau berkata demikian dalam amanatnya sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 di Dataran Kawad Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini pada Khamis.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Perdana Menteri berkata, bagi membina pasukan penguatkuasaan undang-undang yang kukuh dan utuh, penerapan nilai disiplin dan integriti juga perlu dititikberatkan dalam pembinaan sahsiah anggota PDRM.

Selain itu, katanya untuk meningkatkan prestasi pasukan, semua anggota PDRM harus mempunyai sifat ‘sense of belonging’ kepada pasukan dan rasa tanggungjawab tinggi kepada amanah yang digalas.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, dalam usia yang menjangkau 214 tahun, PDRM telah berjaya mengadaptasi dengan cemerlang melalui beberapa siri transformasi dan pembaharuan dari semasa ke semasa bagi memastikannya kekal relevan mengikut peredaran zaman.

Bagaimanapun, Perdana Menteri percaya masih wujud ruang pemerkasaan yang luas untuk PDRM meningkatkan tahap profesionalisme dan kesiapsiagaan dalam memikul amanah.

"Insya-ALLAH, berbekalkan niat yang ikhlas dan kerjasama berpasukan yang jitu, saya yakin dan percaya keupayaan pasukan PDRM dalam memelihara kedaulatan dan keamanan negara akan dapat terus dipertingkatkan serta nama baik PDRM akan kekal harum dalam kalangan seluruh rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata, kerajaan amat prihatin terhadap keperluan PDRM untuk meningkatkan keupayaannya meskipun melibatkan kos tambahan kepada kerajaan serta akan menimbangkan sekiranya wujud keperluan peruntukan bagi memperlengkapkan pasukan itu.

Sebagai contoh, Muhyiddin berkata kerajaan telah bersetuju memanjangkan imbuhan kewangan RM500 kepada semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) bagi yang sedang bertugas atau sudah bersara dalam berdepan situasi ekonomi mencabar ketika ini.

Beliau berkata pemberian imbuhan itu akan dimanfaatkan lebih 80,000 penerima PJPN, termasuk 40,000 penerima pingat yang sudah bersara daripada perkhidmatan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru semua pihak untuk berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM bagi membanteras apa juga usaha dan tindakan anasir-anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat.

Jelasnya, dalam menjaga keamanan negara, bebanan berkenaan tidak sepatutnya diletakkan di atas bahu pasukan keselamatan seperti PDRM semata-mata.

Sebagai contoh, Muhyiddin berkata, kerajaan telah bersetuju memanjangkan imbuhan kewangan RM500 kepada semua penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara (PJPN) bagi yang sedang bertugas atau sudah bersara dalam berdepan situasi ekonomi mencabar ketika ini.

Beliau berkata, pemberian imbuhan itu akan dimanfaatkan lebih 80,000 penerima PJPN, termasuk 40,000 penerima pingat yang sudah bersara daripada perkhidmatan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru semua pihak untuk berganding bahu dan bekerjasama dengan PDRM bagi membanteras apa juga usaha dan tindakan anasir-anasir yang cuba menggugat kedaulatan negara dan ketenteraman rakyat.

Jelasnya, dalam menjaga keamanan negara, bebanan berkenaan tidak sepatutnya diletakkan di atas bahu pasukan keselamatan seperti PDRM semata-mata. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!