LSS Sepang catat prestasi konsisten dua tahun berturut-turut

Nawawi (kiri) dan Rawisandran melihat secara lebih dekat panel solar fotovoltaik di ladang Solar Berskala Besar (LSS) di Sepang ketika lawatan pada 18 Mac lalu.
Nawawi (kiri) dan Rawisandran melihat secara lebih dekat panel solar fotovoltaik di ladang Solar Berskala Besar (LSS) di Sepang ketika lawatan pada 18 Mac lalu.
A
A
A

LADANG Solar Berskala Besar (LSS) Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Sepang menunjukkan prestasi secara konsisten bagi dua tahun berturut-turut menerusi pengurusan loji, penggunaan teknologi kecerdasan buatan dan teknologi analisis data.

Pengarah Urusan Tenaga Renewables (TRe) Sdn Bhd, Mohd Yusrizal Mohd Yusof berkata, ia susulan pengoperasian pertama pada tahun 2019 apabila merekodkan lebihan tenaga kepada penerima sebanyak enam peratus atau lebih daripada 110,000 megawatt jam (MWh).

Beliau berkata, prestasi operasi tersebut turut diulangi pada tahun lalu dengan penjanaan tenaga berjumlah lebih 108,900 MWh atau lima peratus.

“Kita berjaya mengoptimumkan operasi ladang solar ini dengan menggunakan teknologi pemantauan dan analisis data.

“Teknologi ini juga membolehkan TNB mengenal pasti waktu paling sesuai untuk membersihkan panel solar berdasarkan tahap penjanaan tenaga dan ramalan cuaca,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menerusi penggunaan teknologi analisis terkini iaitu pengoptimuman pembersihan, beliau berkata, pihaknya dapat mencapai penjimatan kos operasi tahunan sehingga RM160,000.

“TRe komited untuk menggunakan penyelesaian inovatif bagi membangunkan keupayaan TNB untuk menjadi pengurus selain pemaju aset RE terkemuka dalam Malaysia serta rantau ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk lr Nawawi Ahmad berkata, selain LSS Sepang, TRe juga telahpun membangunkan LSS Bukit Selambau di Sungai Petani.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, ladang berkapasiti 30MW itu dilengkapi dengan 134,880 panel solar fotovoltaik.

“Berbekalkan pengalaman yang kita peroleh setakat ini, saya harap TNB dapat terus memacu perkembangan RE dalam negara menerusi lebih banyak pembangunan ladang solar,” katanya.

Seorang lagi Ahli Lembaga Pengarah TNB, Datuk N Rawisandran berkata, penggunaan teknologi terkini di kedua-dua ladang solar itu membolehkan TNB memaksimumkan kecekapan ladang berkenaan, sekali gus menjana lebih banyak tenaga bersih bagi grid nasional.

“Kedua-dua LSS Sepang dan LSS Bukit Selambau telah dianugerahkan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) yang kini Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) menerusi Suruhanjaya Tenaga (ST).

“Ia juga melalui Program Bidaan Kompetitif LSS 1 dan 2,” kata beliau.