Kanak-kanak dua tahun didera selamat, sedang dirawat - KPWKM

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memandang serius isu tular berkenaan kes penderaan seorang kanak-kanak berusia dua tahun oleh orang yang dikenali.

KPWKM dalam satu kenyataan berkata, pihaknya dimaklumkan bahawa suspek kini dalam tahanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan yakin siasatan terperinci terhadap pesalah terhadap kes kanak-kanak itu akan dijalankan.

Katanya, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana kesalahan yang melibatkan hak dan kebajikan kanak-kanak selaras dengan Akta Kanak-kanak 2001.

"Kini, kanak-kanak yang didera itu telah dibawa ke hospital bersama ibu bagi menerima rawatan dan berada dalam keadaan selamat.

"Kementerian melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan semua jabatan serta agensi di bawah KPWKM ini akan terus memberikan pemeliharaan serta pelindungan sewajarnya kepada kanak-kanak selain meningkatkan kesedaran dalam usaha melindungi golongan itu," ujarnya pada Jumaat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat tentang kes penderaan boleh terus menghubungi Talian Kasih di talian 15999 atau nombor WhatsApp 019-2615999 atau terus ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang terdekat bagi mendapatkan bantuan segera.

Rabu lalu, seorang kanak-kanak perempuan mengalami kecederaan selepas dipercayai didera teman lelaki ibunya di sebuah rumah di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintendan Saralathan Duraisamy dalam satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berkenaan pada jam 5.05 petang hari yang sama.

Menurutnya, bayi itu cedera di bahagian belakang badan, bengkak di bibir serta lebam pada kedua-dua belah matanya.