X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

Banjir kilat, penduduk belum sedia pindah

Kampung Gudang Rasau turut dinaiki air.
A
A

KUANTAN - Penduduk di Kampung Pandan dua, di sini tidak menjangka cuaca panas dan kemarau mengakibatkan berlaku banjir kilat apabila tiba-tiba hujan lebat sejak pagi Selasa.

Justeru mereka kini dalam keadaan berjaga-jaga apabila air mula melimpah di kawasan perumahan dan membuat persiapan untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekiranya air terus naik.

Penduduk, Mohd Roslan Zaidin, 46, berkata, mereka tidak menyangka dalam keadaan kemarau berlaku hujan lebat secara tiba-tiba.

Jalan di Kilometer 16 Jalan Kuantan-Sungai Lembing ditutup.
Jalan di Kilometer 16 Jalan Kuantan-Sungai Lembing ditutup.

"Banjir kilat memang biasa berlaku di sini dan apabila hujan sangat lebat, air cepat naik dan akan surut apabila hujan berhenti.

"Jadi, kami ambil keputusan akan pindah ke PPS, jika air naik tapi setakat ini masih belum membimbangkan," katanya ketika ditemui pada Rabu.

Hujan lebat sejak Selasa menyebabkan beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat sedalam kira-kira satu meter membabitkan Kampung Pandan 2 dan Gudang Rasau.

Beberapa jalan turut ditenggelami air dan hanya kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat yang boleh melaluinya seperti di Kilometer 16 Jalan Kuantan-Sungai Lembing.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panching, Mohd Tarmizi Yahya berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, banjir kilat akan berlaku dalam masa satu hingga dua hari jika berlakunya hujan secara berterusan.

Hanya Kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat yang boleh melaluinya seperti di Kilometer 16 Jalan Kuantan-Sungai Lembing.
Hanya Kenderaan pacuan empat roda dan kenderaan berat yang boleh melaluinya seperti di Kilometer 16 Jalan Kuantan-Sungai Lembing.

Katanya, banjir kilat perkara biasa bagi penduduk Kampung Pandan 2 dan situasi juga masih terkawal.

"Bagaimanapun penduduk perlu akur untuk berpindah, jika diarahkan berbuat demikian.

"Saya juga dimaklumkan Pasukan Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Taman Tas dan sukarelawan Jabatan Amal Malaysia Pahang sudah bersiap siaga untuk membantu para penduduk berpindah," katanya.

Mohd Tarmizi berkata, bantuan makanan akan diberikan jika keadaan berlarutan dan jalan terpaksa ditutup.

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my merekodkan paras air Sungai Lembing melepasi paras bahaya, manakala bacaan Sungai Kuantan di Pasir Kemudi melepasi paras amaran dan Sungai Belat di Sri Damai pula melepasi paras berjaga-jaga.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam satu kenyataan telah mengeluarkan notis amaran cuaca buruk iaitu hujan lebat dijangka berterusan di daerah ini, pada Rabu.

Cuaca waspada iaitu hujan lebat pula dijangka berlaku di beberapa daerah di Pahang iaitu Jerantut, Maran, Pekan dan Rompin.

Angin kencang timur laut berkelajuan 40 hingga 50 kilometer dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter dijangka berlaku di kawasan perairan Pahang sehingga esok.

Keadaan angin kencang dan laut bergelora itu adalah berbahaya kepada bot kecil, rekreasi dan sukan laut.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!