Nilai integriti dalam kepimpinan politik

No Image Caption
A
A
A

SEJAK akhir-akhir ini, ramai berbicara tentang isu integriti khususnya dalam kalangan penjawat awam. Isu integriti dikaitkan rapat dengan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah, penyelewengan, penipuan dan tindak-tanduk yang mengelirukan orang ramai. Tanpa integriti, seseorang pemimpin dikira hilang kredibiliti dan hak memimpin.

Dalam bahasa yang mudah integriti dalam konteks kepimpinan membawa erti pemimpin yang amanah, telus dan jujur.

Satu masa dulu di Majlis Sambutan Maulidur Rasul SAW di Putrajaya, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah telah bertitah bahawa masalah besar menyebabkan ummah menjadi sengsara ketika ini adalah berpunca daripada ketiadaan integriti oleh pemimpin yang diamanahkan dengan kuasa. Titah Tuanku, masalah tersebut berpunca daripada krisis tercetus ekoran perebutan untuk membina kekayaan secara tidak luhur dan telus termasuk perebutan kuasa untuk membina kekayaan diri, keluarga dan kroni.

"Pemimpin tidak amanah, pemimpin tidak berintegriti, akan mengakibatkan ummah berada dalam sengsara. Kemiskinan ummah akan menjadi lebih buruk apabila pemimpin lebih utamakan agenda bina kekayaan material dengan mengambil dan menidakkan hak ummah secara tidak adil.

"Akibatnya, berlaku ketirisan sumber, pembangunan tempang serta pengangguran, jenayah dan rasuah tinggi yang menyebabkan ketenteraman awam terjejas, kestabilan politik tergugat dan ummah bertambah derita,"titah baginda.

Mengikut Indeks Integriti Antarabangsa, Malaysia sekarang berada di nombor 45 bersama dengan Namibia dan diikuti oleh Botswana di nombor 47 dan El Saalvador di nombor 48. Dan mengikut Transparency International Malaysia (TI-M), bancian mereka menunjukkan bahawa parti politik adalah institusi yang paling korup di antara institusi-institusi di Malaysia.

Kontroversi terbaru

Akhir-akhir ini, isu integriti menjadi polemik hebat di kalangan rakyat dan pemerhati politik ekoran dari beberapa kes terbaru melibatkan UMNO, BN, Pas dan PH.

Masalah UMNO-BN yang kehilangan integriti dan kredibiliti sudah lama diketahui umum. Malah ia diakui menjadi salah satu punca mengapa tumbangnya UMNO-BN pada PRU14. Pas sebagai kekasih gelap dan rakan kongsi UMNO-BN juga ikut terpalit dengan masalah ini. Permainan dan pendekatan politik Pas sebelum dan selepas PRU14 telah banyak menghakiskan kepercayaan dan keyakinan orang ramai terhadap mereka.

Artikel Berkaitan:

Pemimpin-pemimpin Umno hari ini sudah kehilangan roh perjuangan yang diasaskan oleh Tun Razak yang berteraskan kepada nilai integriti yang tinggi sepertimana Pas kehilangan roh perjuangan Tuan Guru Nik Aziz (TGNA).

Dalam keadaan kredibiliti UMNO dan Pas belum pulih, mereka pula terjebak dengat kemelut baru ekoran daripada penarikan balik saman fitnah oleh Hadi Awang ke atas Rewcastle-Brown.

Tindakan Hadi dikatakan membuka pekong di dada dan mencetus polemik integriti yang serius kepada kepimpinan Pas dan UMNO.

Orang ramai melihat penarikan balik saman tersebut secara langsung telah memperakui tuduhan dan dakwaan Rewcastle-Brown bahawa Pas atau pemimpin-pemimpin kanan mereka telah menerima RM90 juta dari UMNO sebagai sogokan atau pelincir untuk menyokong dan bekerjasama dengan UMNO- BN. Malah mengikut satu video tular, Hadi pernah mengakui dalam satu majlis bahawa jika beliau menarik balik saman tersebut, maka ertinya tuduhan Rewcastle-Brown adalah benar.

Paling terkini ialah pengakuan Nik Abduh bahawa memang benar suara dalam video yang ditularkan adalah suaranya. Dia menjelaskan bahawa pada awalnya dia telah membuat penafian dengan restu dari Hadi. Kita masih ingat bahawa Ahli Parlimen Kuala Nerus, Khairuddin Aman Razali telah menegaskan bahawa rakaman audio bukan suara Nik Abduh. Ramai mempercayainya kerana katanya dia juga berada bersama-sama Nik Abduh di majlis tersebut. Dalam kenyataan yang sama, Nik Abduh ikut berkata bahawa TGNA juga pernah berbohong dalam hal politik demi untuk menjaga rahsia parti!

No Image Caption

Rakyat jelata kelu dan terpingga-pingga melihat dan mengikuti perkembangan ini.Mereka boleh memahami bila pemimpin biasa dan dari golongan sekular berbohong atau terjebak dengan isu integriti. Tapi mereka sukar memahami dan menerima bila pemimpin parti Islam dan tokoh ulama ikut terjebak dengan masalah sama. Pemimpin-pemimpin Islam yang selalu melafaz kalimah suci al-Quran dan menyebut hadis-hadis berkewajipan mempamerkan contoh terbaik.

PH juga tidak lepas dari masalah integriti dan ikut terjebak dalam kemelut sama. Kemelut timbul termasuklah isu-isu berikut:

i) Ijazah palsu atau maklumat yang mengelirukan tentangnya

Beberapa pimpinan PH dituduh telah memberi fakta palsu atau mengelirukan tentang kelayakan akademik mereka.

Persoalan ditimbul oleh orang ramai ialah tentang ketelusan dan integriti pemimpin. Bukan masalah pemimpin ada kelayakan akademik atau tidak. Kerana umum dapat menerima pemimpin-pemimpin yang tidak mempunyai kelayakan akademik tinggi tapi masih mampu menjadi pemimpin yang berkesan.

ii) Rombongan pegawai-pegawa kanan polis ke Istanbul

Lim Guan Eng membuat pendedahan bahawa satu syarikat perjudian, Da Ma Cai telah menaja rombongan lawatan kerja diketuai Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki. Delegasi itu dilaporkan untuk mempelajari dasar perjudian dalam talian.

Program lawatan sambil belajar tersebut menimbulkan banyak persoalan kepada rakyat dan tanda tanya. Apakah wajar program tersebut yang melibatkan pihak penguatkuasa undang-undang ditaja oleh syarikat perjudian? Apakah ianya telah mengkompromikan integriti polis dan kredibiliti kerajaan PH?

iii) PPBM menerima masuk bekas pemimpin-pemimpin UMNO

Paling terbaru ialah keputusan Tun M menerima 7 bekas Ahli Parlimen UMNO. Oleh kerana isu ini mungkin mencetus implikasi dan membawa impak besar kepada PH dan rakyat yang menyokong mereka, kita cuba menyelaminya dengan lebih khusus.

Keputusan Tun M untuk menerima masuk bekas pemimpin-pemimpin UMNO ke dalam PPBM telah menimbulkan rasa keliru dan terkilan kepada banyak pihak. Mereka masih ingat ikrar dan janji Tun M bahawa PH tidak akan menerima bekas pemimpin-pemimpin ini. Apabila Tun M mengubah pendirian tersebut dalam masa singkat, maka ramai dari kalangan parti-parti komponen dan juga rakyat menjadi gusar dan tidak puas hati. Tiba-tiba di dalam keadaan rakyat masih pening dan bingung dengan perkembangan terbaru ini, Tun M telah mengeluarkan kenyataan bahawa jika DAP, PKR dan Amanah 'belot' kepada negara, beliau akan mencari parti lain untuk membentuk gagasan baru.

Keadaan politik dalaman PH mungkin akan menjadi lebih tegang selepas ini jika DAP, PKR dan Amanah bertindak balas ke atas kenyataan dan cabaran tersebut.

Apa implikasi dan penyudahnya nanti jika perpaduan dan kesatuan dalam PH menjadi retak dan berpecah-belah? Apakah itu yang rakyat mahu lihat, setelah mereka berjuang bermati-matian dan sekian lama untuk menumbangkan kerajaan kleptokrat UMNO- BN dan mengangkat PH sebagai pengantinya? Nauzubillah!

iv) Rakyat rasa tertekan

Sebenarnya rakyat tidak berapa kisah dengan kemelut dalaman atau luaran yang timbul dalam UMNO-BN atau Pas. Mereka sudah membuat pendirian dan pilihan mereka semasa PRU14 dulu.

Harapan dan tumpuan mereka adalah kepada PH yang mereka pilih untuk membawa negara ke jalan yang lebih baik. Oleh itu rakyat meminta PH dan pemimpin-pemimpin mereka memberi tumpuan kepada usaha menunaikan janji-janji pilihanraya. Jangan tekan dan himpit rakyat dengan permainan dan percaturan politik menjengkelkan. Rakyat sedang menilai apa yang sudah, sedang dan akan berlaku. Perlu ingat jika rakyat sudah hilang kesabaran, maka suara keramat rakyat yang mengangkat PH satu masa dahulu juga mampu menumbangkannya.