Mengasihi haiwan ada hadnya

Dari kiri: Zarinah Jan, Syed Shahridzan dan Ustaz Abdul Khair pada Wacana al-Quran Siri ke-100 bertajuk Boleh Ke Orang Islam Membela Anjing? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
Dari kiri: Zarinah Jan, Syed Shahridzan dan Ustaz Abdul Khair pada Wacana al-Quran Siri ke-100 bertajuk Boleh Ke Orang Islam Membela Anjing? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Umat Islam dilarang memelihara anjing sebagai haiwan peliharaan kerana hukumnya haram.

Ketua Penolong Mufti Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed Ben-Agil berkata, umat Islam juga perlu membataskan perasaan mengasihi haiwan berlandaskan agama.

Beliau berkata, memberi makan kepada haiwan berkenaan dibolehkan tetapi ada batas tertentu termasuk tidak boleh pegang dan memeluknya.

“Kita tak pegang dan peluk bukan bermakna kita tak sayang. Bukan kita berbuat zalim tetapi masih ada peruntukan Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana al-Quran Siri ke-100 bertajuk Boleh Ke Orang Islam Membela Anjing? yang disiarkan secara langsung di Kumpulan Karangkraf pada Rabu.

Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Fazrul Ismail menjadi moderator manakala Ustaz Abdul Khair Jalil menampilkan qari jemputan yang memperdengarkan surah al-Maidah ayat 4 dan surah al-Kahf ayat 18.

Bagaimanapun, Syed Shahridzan berkata, hukum membela anjing boleh menjadi harus jika ia bertujuan menjaga ternakan dan tanaman, menjadi petunjuk jalan dan memburu sebagaimana yang dijelaskan dalam hadis sahih.

“Selain daripada tiga tujuan ini, seseorang akan ditarik amalan pahalanya sebanyak dua qirat. Satu qirat kira-kira sebesar Gunung Uhud,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pensyarah Celpad dan Penasihat Kelab Abu Hurairah, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Zarinah Jan Yusof Khan turut menyarankan supaya pelajar dididik cara untuk menyelamatkan haiwan terbiar termasuk anjing tanpa melibatkan sentuhan.

Menurutnya, jika pelajar mempunyai ilmu tersebut, mereka mampu memiliki tahap kesedaran dan sifat kasih sayang yang tinggi dalam diri masing-masing.

“UIA melahirkan pelajaran yang holistik. Ini bermaksud kita bukan sahaja tertumpu kepada akademik tetapi kita membuka ruang kepada mereka untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti termasuk menyelamatkan haiwan jalanan.

“Kadang-kadang mereka sanggup menghabiskan wang semata-mata ingin membeli makanan anjing. Ada juga antara mereka yang mengutip lebihan makanan di kafeteria universiti kemudian meletakkan di satu kawasan yang didatangi haiwan itu.

“Justeru, tidak salah memberi anjing makan dan jangan sesekali menzalimi sekiranya tidak suka haiwan berkenaan,” katanya.