Petani MADA tolak projek Smart SBB

CHE ANI
CHE ANI
A
A
A

ALOR SETAR - Lebih 95 peratus petani dalam kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menolak rancangan kerajaan untuk menyerahkan kawasan tanaman padi dalam kawasan Pengairan Muda bagi projek Smart Sawah Berskala Besar (Smart SBB).

Pengerusi Badan Bertindak Petani MADA, Che Ani Mat Zain berkata, antara alasan petani enggan terlibat dalam projek berkenaan ialah kerana kawasan MADA seluas 100.685 hektar itu telah mempunyai pengairan yang lengkap.

Beliau berkata, walaupun pengairan berkenaan masih perlu ditambah baik namun mereka percaya dengan bimbingan pihak MADA serta pegawai yang berpengalaman, petani mampu menambahkan hasil selain mendapat pengairan lebih sempurna.

"Merujuk cadangan dasar Agromakanan Negeaa 2.0 (2021-2030), kerajaan menggariskan tahap sara diri (SSL) ditingkatkan daripada 73.4 peratus kepada 80 peratus menjelang tahun 2030 yang mana peningkatan ini boleh dicapai oleh program peningkatan hasil oleh MADA.

"Kami yakin jika punca masalah dan isu yang membelenggu petani dapat diatasi, hasil petani akan lebih baik dan negara mampu mencapai SSL seperti yang disasarkan," katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Selasa.

Che Ani mendakwa, menerusi Smart SBB, industri padi dan beras akan diambil oleh syarikat-syarikat dan jumlah petani akan dikurangkan.

"Mungkin tenaga buruh asing akan digunakan untuk menjimatkan kos dan peranan agensi kerajaan seperti MADA akan dikurangkan secara berperingkat.

"Melihat kepada senarai 11 syarikat yang dicadangkan, kita dapati lebih 70 peratus pegangan adalah dimiliki oleh syarikat bukan bumiputera.

Artikel Berkaitan:

"Oleh yang demikian, petani-petani berasa amat gusar dan bimbang akan wujudnya monopoli oleh satu pihak sahaja yang mana pihak ini akan memonopoli semua rantaian dalam projek ini iaitu daripada benih, racun, jentera pertanian dan pemasaran," katanya.

Dalam pada itu, Che Ani berkata, projek penswastaan itu dilihat lebih menguntungkan pihak swasta dan pemberi dana.

"Kerajaan juga seolah-olah tidak mahu lagi mengeluarkan dana dan bantuan secara terus kepada petani.

"Mungkin dana dan bantuan ini akan mula beralih kepada syarikat-syarikat dan pelabur pula," katanya.

Beliau berkata, sekiranya kerajaan ingin menyasarkan tahap sara diri sebanyak 90 peratus, petani MADA mencadangkan agar kerajaan memikirkan cara lain dengan tidak melibatkan tanah petani sedia ada.

"Kerajaan boleh membuka kawasan baharu sebagai projek rintis sebagaimana di Kalimantan Indonesia," katanya.