X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Rentas sempadan: Malaysia-Singapura perhalusi sijil vaksinasi

Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Putrajaya hari ini. Foto FB Hishammuddin
A
A

PUTRAJAYA- Kerajaan Malaysia dan Singapura akan memulakan perbincangan khusus bagi mengiktiraf sijil vaksinasi Covid-19 yang dikeluarkan untuk rakyat masing-masing, sebagai mempermudahkan lagi perjalanan merentasi sempadan antara dua negara berkenaan.

Ia merupakan antara yang dipersetujui kedua-dua negara, selepas mesyuarat tertutup antara Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan rakan sejawatnya dari Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Putrajaya hari ini.

Dalam sidang media bersama, kedua-dua Menteri berkata, Malaysia dan Singapura turut bersetuju untuk mempercepatkan lagi program vaksinasi masing-masing bagi penduduk jangka panjang, termasuk rakyat Malaysia yang menetap di Singapura, dan rakyat Singapura yang menetap di Malaysia.

Selain itu, mereka juga bersetuju untuk memulakan pergerakan antara sempadan secara berperingkat seperti Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA).

Sementara itu, Wisma Putra dalam kenyataan susulan berkata, pertemuan kedua-dua rakan sejawat itu menunjukkan hasil yang positif, dan perbincangan menyentuh mengenai program vaksinasi rakyat masing-masing, serta kaedah terbaik untuk memudahcara perjalanan antara dua negara tersebut.

“Perincian pelaksanaan mengenai pengiktirafan timbal balik sijil vaksinasi antara Malaysia dan Singapura, termasuk keperluan, protokol kesihatan, dan proses permohonan melibatkan pintu masuk dan keluar kedua-dua negara akan diperhalusi dan dimuktamadkan kedua-dua pihak.

“Kedua-dua Menteri mengesahkan kembali hubungan yang baik dan lama antara Malaysia dan Singapura, serta peri pentingnya usaha mengukuhkan kerjasama yang saling menguntungkan dalam mengatasi cabaran bersama akibat pandemik COVID-19,” menurut kenyataan itu lagi.

Jelas Kementerian lagi, termasuk pengembalian semula pergerakan rakyat, penjagaan kesihatan awam dan keselamatan penduduk di kedua-dua negara.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!