Tiga lelaki Pakistan guna permit PKP palsu

Tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki menggunakan permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) palsu ketika membeli tiket bas di Terminal Bas Larkin.
Tiga lelaki yang ditahan kerana disyaki menggunakan permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) palsu ketika membeli tiket bas di Terminal Bas Larkin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan tiga lelaki warga Pakistan yang disyaki menggunakan permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) palsu ketika membeli tiket bas dari Terminal Bas Larkin di sini ke Kuala Lumpur pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, ketiga-tiga suspek ditahan polis bantuan ketika mereka mengemukakan permit PKP terbabit untuk membeli tiket ke Kuala Lumpur.

"Siasatan mendapati lelaki berusia antara 28 hingga 41 tahun itu membeli permit palsu itu daripada seorang individu tidak dikenali dengan bayaran RM50 bagi sekeping borang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, suspek membuat pembelian itu dengan melakukan pembayaran melalui akaun bank tempatan individu berkenaan.

Jelasnya, semakan rekod yang dibuat mendapati ketiga-tiga suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes tersebut katanya, disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tambah beliau, kesemua suspek kini direman selama 14 hari bermula tarikh tangkapan sehingga 1 April.

"Orang ramai diingatkan tidak menggunakan jalan mudah dengan mendapatkan permit PKP melalui pihak ketiga dengan sejumlah bayaran bagi tujuan rentas negeri," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegas beliau, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang menyalahgunakan permit PKP terbabit.