X

Kindly register in order to view this article
!

Perak peruntuk RM10 juta bina Rumah Mesra Rakyat

Hasleen (kanan) menukar dokumen MoU dengan Jamaluddin pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Pembinaan RMR SPNB bersama Yayasan Perak dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak di Hotel [email protected] pada Selasa.
A
A

IPOH - Perak menjadi negeri pertama menjalin kerjasama dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) bagi pembinaan Rumah Mesra Rakyat (RMR) Rumah Perakku Prihatin membabitkan peruntukan RM10 juta.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, inisiatif tersebut merupakan usaha kerajaan negeri untuk membantu rakyat khususnya golongan B40 memiliki kediaman selesa pada harga berpatutan.

Menurutnya, peruntukan yang disediakan itu disalurkan melalui Yayasan Perak bagi tujuan pelaksanaan tersebut.

"Kita memberi peluang kepada mereka yang berada di pertengahan iaitu yang tidak layak mendapat rumah percuma dan tidak mampu membuat pinjaman. Mereka boleh memohon pinjaman tanpa faedah melalui skim ini.

"Saya berterima kasih kepada SPNB yang menawarkan kerjasama dengan Yayasan Perak bagi menjayakan program ini," katanya kepada pemberita pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Pembinaan RMR SPNB bersama Yayasan Perak dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak di Hotel [email protected] di sini pada Selasa.

Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi; Pengerusi Yayasan Perak, Datuk Tarmizi Idris; Ketua Pegawai Eksekutif SPNB, Datuk Hasleen Isnin dan Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Perak, Datuk Jamaluddin Abdul Rahim.

Hasleen (kiri) menunjukkan model RMR SPNB kepada Saarani pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Pembinaan RMR SPNB bersama Yayasan Perak dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak di Hotel Casuarina@Meru pada Selasa.
Hasleen (kiri) menunjukkan model RMR SPNB kepada Saarani pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Pembinaan RMR SPNB bersama Yayasan Perak dan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Negeri Perak di Hotel [email protected] pada Selasa.

Saarani berkata, kerajaan negeri menyasarkan lebih 200 unit rumah mampu milik dibina pada tahun ini.

Menurutnya, menerusi kerjasama dengan SPNB, RMR Rumah Perakku Prihatin akan dibina di seluruh negeri.

Katanya, rakyat Perak yang berminat boleh mengemukakan permohonan kepada Yayasan Perak yang akan melihat kelayakan pemohon sebelum diluluskan.

Sementara itu, Hasleen menyambut baik inisiatif kerajaan Perak dalam usaha membantu rakyat memiliki rumah sendiri.

Katanya, SPNB turut mengalu-alukan kerajaan negeri lain yang ingin melaksanakan kerjasama seperti itu.

"Untuk RMR ini, negeri lain juga berhasrat membuat melaksanakan kerjasama seperti di Johor, Pahang dan juga di Terengganu.

"Jadi kita sedia bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk melaksanakan projek ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!