137 terbunuh serangan kumpulan lelaki bermotosikal

Gambar fail menunjukkan seorang pegawai polis mengawal pasar dekat sebuah lapangan terbang di Diffa, barat daya Niger. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang pegawai polis mengawal pasar dekat sebuah lapangan terbang di Diffa, barat daya Niger. - Foto AFP
A
A
A

NIAMEY - Seramai 137 orang terbunuh dalam serangan bersenjata oleh sekumpulan lelaki yang menunggang motosikal di tiga buah kampung dekat sempadan Niger dengan Mali Ahad lalu, kata kerajaan Niger pada Isnin.

Jurucakap kerajaan, Zakaria Abdourahamane berkata, dalam satu kenyataan di televisyen awam bahawa pihaknya berjanji akan membawa mereka yang melakukan kejadian tersebut ke muka pengadilan.

Kumpulan lelaki bersenjata itu menyerang kampung Intazayene, Bakorat dan Wistane serta menembak ke arah objek yang sedang bergerak, kata seorang pegawai tempatan.

Ia menjadikannya sebagai serangan paling berdarah pernah berlaku dan disyaki dilakukan oleh golongan pemberontak di Niger.

Angka kematian itu menyebabkan jumlah kematian di sempadan Mali-Niger ialah 236 orang dalam tempoh lebih seminggu.

Niger sebelum ini menghadapi masalah dengan serangan daripada kumpulan-kumpulan pengganas sehingga menyebabkan ratusan penduduk terbunuh manakala hampir sejuta orang melarikan diri dari tempat tinggal di negara bekas jajahan Perancis itu.

Tiga buah kampung itu terletak di wilayah Tahoa di barat Niger, sempadan Mali.

Pada 15 Mac lalu, anggota-anggota bersenjata disyaki golongan pemberontak membunuh 66 orang di wilayah Tillaberi apabila mereka menyerang sebuah bas yang membawa penumpang dari bandar Banibangou dan menyerbu kampung Darey-Darey sebelum membunuh sebahagian penduduknya dan membakar kedai-kedai.

Artikel Berkaitan:

Pada 12 Januari lalu, seramai 100 orang terbunuh dalam serangan di dua buah kampung di daerah Mangaize, wilayah Tillaberi. - AFP