X

Kindly register in order to view this article
!

Mendidik generasi berintegriti

A
A
RENUNG dan kajilah satu ayat al-Quran yang ringkas dan pendek dalam surah Al-Rum ayat 30 yang menjelaskan bahawa agama Islam dan umat Islam adalah bertunjangkan fitrah yang bersih dan suci.

Oleh itu, manusia yang tidak menghayati kehidupan fitrah, besar kemungkinan akan melakukan perbuatan yang tidak suci lagi iaitu dengan bertindak mengikut nafsu dalam kepelbagaian aspek kehidupannya iaitu yang menentang akidah, syariah dan akhlak yang telah dibawa oleh agama Islam.

Nabi Yusuf AS ketika mengingati kembali segala peristiwa kehidupannya yang panjang dan kompleks, setelah berjaya kembali ke penghidupan berhikmah dan luhur dengan pertemuan semula dengan ibu bapa dan saudara-saudaranya, telah menyifatkan ALLAH SWT sebagai Fatir, yang ditafsirkan sebagai Pelindung dan Pencipta, dengan munajatnya kepada Penciptanya dalam surat Yusuf ayat 101:

“Tuhanku, sesungguhnya Engkau telah meanugerahkan kepadaku sebahagian kekuasaan, dan telah mengajarkan kepadaku sebahagian rahsia (Ta’bir) mimpi. (Wahai Tuhan) Pencipta langit dan bumi, Engkaulah pelindungku di dunia dan di akhirat, matikanlah aku dalam keadaan Muslim, dan hubungkanlah aku dengan orang-orang yang soleh.”

Sesungguhnya amat murni dan bersih sekali pengucapan Nabi Yusuf yang penuh hikmah dan syahdu ini ketika mengembalikan semula lipatan peristiwa kehidupannya yang akhirnya kembali ke kehidupan fitrah,.

Sebenarnya inilah perutusan Islam ketika umatnya mengamalkan ibadat kepada ALLAH SWT, iaitu sebagai hikmat dan rahsia yang berada di sebalik ibadat rasmi itu, yang merupakan satu pendidikan holistik untuk jiwa raga, hati nurani dan merupakan satu latihan yang amat berkesan untuk diterjemahkan dalam kehidupan dunia.

Amat jelas sekali bahawa ajaran fitrah jasmani dan rohani ini, hendaklah dimulai ketika kanak-kanak masih lembut ubun-ubunnya lagi.

Namun sekiranya mereka ketika masih kecil hanya memahami tentang ibadat ritual sahaja, mungkin mereka akan memahami bahawa mereka sudah pun menjadi orang yang paling baik dengan amalan peribadi ketika melakukan ibadat kerana hal itulah yang ditekankan dalam ajaran agama dan pendidikannya di sekolah.

Mereka akan merasa bahawa mereka telah pun menunaikan tugas keislamannya yang cukup dengan ibadat khusus itu semata-mata, sedangkan di luar daripada ibadat khusus, mereka sering berkelakuan sumbang dengan teman-teman sekolah dan di luar sekolah, tidak bertanggungjawab dalam membantu dan menolong orang lain, termasuk ibu bapa dan adik beradiknya sendiri.

Kehidupan

Istilah zuriat yang bermaksud keturunan atau generasi itu ialah jangka waktu manusia dari awal kelahirannya hingga ke akhir saat kehidupannya.

Kehidupan sepanjang hayatnya inilah yang dimaksudkan dalam ajaran agama dengan pengisian unsur pendidikan yang holistik dan menyeluruh itu sesuai dengan semua peringkat kehidupan mereka.

Islam mengajar kita supaya tidak berputus asa dalam hidup dan sekali gus juga mendidik kita supaya mempunyai keyakinan diri iaitu dalam konteks ini bahawa sekiranya kita menghadapi krisis kemanusiaan dan pembentukan generasi, maka kita tidak seharusnya lalai atau hanya berpeluk tubuh, tetapi kita haruslah berusaha memperbaiki segala yang lemah dan keciciran, malah membetulkan segala kesilapan itu, untuk mewujudkan semula generasi baharu yang lebih baik lagi.

Namun umat Islam, mungkin dalam konteks negara dan bangsa Melayu sendiri, boleh mulai memulihkan keadaan ini dengan kembali semula berbicara tentang pendidikan di rumah, atau keibubapaan, yang pada satu ketika dulu telah kita bicarakan dengan penuh tenaga dan fikiran.

Malah nampaknya kini, mulai luntur dan luput dari dunia pembicaraan kita, kerana tekanan hidup yang memerlukan ibu bapa bekerja, memisahkan diri daripada ilmu keibubapaan, malah meminggirkan diri daripada keilmuwan dan pembicaraan saintifik dan pedagogi yang lebih berbentuk profesional tentang fungsi keluarga dalam pendidikan anak-anak.

Amatlah diharapkan bahawa dalam zaman yang serba mencabar ini, pihak pemerintah dan masyarakat umumnya haruslah segera membangunkan integriti keturunan baharu dengan pendidikan seumur hidup rohani dan jasmaninya, agama dan sains, serta bidang profesional lain yang seimbang.

*Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!