Tak pernah lagi syarikat judi taja lawatan polis: Najib

Paparan skrin kenyataan Najib di laman sosial Facebook, miliknya.
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menangkis dakwaan kerajaan bahawa BN telah meluluskan lawatan polis ke Turki pada 2017.

Menurut Najib, sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, perkara seperti penajaan untuk lawatan daripada syarikat judi tidak pernah berlaku.

“Semalam, Lim Guan Eng (Menteri Kewangan) dengan bangganya kata kos lawatan pegawai polis ke Turki tak guna wang rakyat. Dengan bangganya, dia kata kos ditaja oleh syarikat judi, Da Ma Cai.

ARTIKEL BERKAITAN: Tajaan lawatan ke Turki lulus sejak 2017

“Selepas kuat dikecam, hari ini dia taichi dan salahkan BN lagi. Tetapi sepanjang masa saya PM, saya tak pernah dengar berlakunya kejadian syarikat judi menaja lawatan pihak polis,” katanya dalam kemaskini status di Facebook, hari ini.

Hari ini, Guan Eng mengesahkan tajaan lawatan kerja Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dan beberapa pegawai kanan polis ke Turki telah diluluskan sejak 2017 lagi oleh Lembaga Pengarah syarikat berkanun, Totalisator Malaysia.

Menurut Guan Eng, lembaga pengarah itu tidak merujuk kepada kementeriannya berhubung lawatan bernilai RM184,685 itu dan beliau mengakui hanya mengetahui perkara berkenaan selepas membaca laporan akhbar.

Dalam pada itu, Najib melahirkan rasa pelik apabila lawatan yang hanya dijalankan baru-baru ini telah diluluskan dua tahun sebelumnya.

“Saya juga tidak pasti dan pelik kenapa lawatan untuk tahun 2019 boleh diluluskan dua tahun sebelum ini iaitu pada tahun 2017.

“Pada masa sama, kenapa GST, bantuan-bantuan rakyat dan segala projek-projek mega boleh dimansuhkan dalam masa sembilan bulan PH memerintah tetapi lawatan ini tak boleh dibatalkan, jika pun benar ia diluluskan dua tahun lalu?,” katanya.

Beliau turut mempertikaikan tindakan Guan Eng yang kerap menuding jari kepadanya atau BN.

“Kalau tak salah Najib, salah BN. Kalau tak salah BN, salah Najib. Apa yang Guan Eng cuba buat sebenarnya atau dia tahu ke apa dia cakap?,” tanyanya.

Semalam, Guan Eng mendedahkan kos lawatan ke Turki itu untuk mempelajari cara membanteras judi online tidak ditanggung dan diluluskan oleh pihak Kementerian Kewangan sebaliknya mendapat sumber kewangan daripada Da Ma Cai.

Pendedahan itu mengundang kritikan pelbagai pihak terutama pimpinan pembangkang.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia