Anggota polis didakwa salah guna harta PDRM

Anggota polis Mohd Nur Baderyshah Matasum, 34, (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan harta milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu kad inden bernilai lebih RM90,422.90, dua tahun lepas. - Foto Bernama
A
A

MELAKA - Seorang anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan harta milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu kad inden bernilai lebih RM90,000, dua tahun lepas.

Tertuduh, Mohd Nur Baderyshah Matasum, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas ketujuh-tujuh pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin.

Mohd Nur Baderyshah, didakwa dengan curang menyalahgunakan harta iaitu Kad Inden Minyak Petrol Kenderaan Rasmi PDRM ‘Kad Smart Pay’ bagi mendapatkan wang tunai berjumlah RM90,422.90 di Stesen Minyak Petronas Kelemak, Alor Gajah dekat sini, antara 1 Mac dan 30 September 2017.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda serta sebat, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Irwan Shah Abdul Samat mencadangkan Mohd Nur Baderyshah, seorang Lans Koperal polis dikenakan jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Namun, tertuduh yang diwakili peguam, Azrul Zulkifli Strok merayu agar dikurangkan jaminan atas alasan gaji anak guamnya telah digantung sejak ditahan SPRM dan dia perlu menanggung lima anak serta bapanya yang sedang uzur.

Hakim Mohd Nasir kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan iaitu serah pasport kepada mahkamah dan lapor diri di pejabat SPRM Melaka setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 20 Mac untuk sebutan semula kes.- Bernama