Jangan sampai isu gaji melarat

Mohd Sadek
Mohd Sadek
A
A
A

PENSYARAH Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Mohd Sadek Mustafa berkata, kegagalan segelintir kelab Liga Malaysia (Liga-M) membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual ditetapkan sebelum ini memberi imej negatif kepada pasukan terbabit pada masa depan.

“Liga-M belum bermula separuh perjalanan, namun masalah pembayaran tunggakan gaji pemain serta pegawai kembali mewarnai saingan liga kali ini.

“Harus diingat saingan Liga Super dan Liga Premier tidak hanya disaksikan komuniti bola sepak tetapi juga sedang dinilai syarikat korporat yang berpotensi menjadi penaja, tambahan pula selepas semua pasukan melalui proses penswastaan atau pertukaran dari persatuan bola sepak (FA) kepada kelab bola sepak (FC).

“Jadi pengurusan kelab perlu segera mengubah cara pemikiran daripada pemikiran dan cara kerja persatuan kepada pemikiran dan budaya kerja entiti korporat,” katanya ketika dihubungi Sukan Sinar pada Sabtu.

Dalam masa sama, Mohd Sadek berkata, imej kelab juga akan terjejas sekiranya terdapat dalam kalangan pemain membawa isu tersebut ke Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“Pemain-pemain dari luar negara juga akan berfikir banyak kali sebelum memutuskan beraksi dalam saingan Liga-M walaupun kes boleh disifatkan sebagai kes terpencil sahaja,” katanya.

First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dalam mesyuarat pada Jumaat mengenakan pemotongan tiga mata ke atas skuad kendalian Zainal Abidin Hassan selepas kegagalan membayar baki ansuran tunggakan gaji pemain dan pegawai mengikut jadual.

Pada masa sama Mohd Sadek sekali lagi menyarankan setiap kelab Liga-M menilai kembali kemampuan dalam berbelanja bagi mengelakkan kejadian seperti ini berulang pada masa depan.

Artikel Berkaitan:

“Adalah penting untuk semua kelab menjaga dan mengekalkan imej bersih dalam saingan liga kerana isu-isu seperti masalah gaji ini sebenarnya tidak hanya menjejaskan imej kelab saingan Liga Super dan Liga Premier tetapi juga imej pentadbir iaitu MFL itu sendiri.

“Pada saya biarlah sesebuah kelab itu tersingkir ke liga bawahan daripada dipalit masalah hutang yang sememangnya membuatkan imej kelab lebih buruk dalam kalangan komuniti bola sepak,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Sadek menyambut baik ketegasan FIB Pelesenan MFL dalam mengambil tindakan tegas berikutan kegagalan kelab Liga-M melaksanakan tanggungjawab terhadap pemain dan pegawai pasukan memberi imej negatif kepada kelab pada masa depan.

“Pemotongan mata ini bukti bahawa perkara ini sememangnya dipandang serius pihak bertanggungjawab kerana ia berkaitan dengan kebajikan pemain dan pegawai kelab terbabit.

“Namun pada masa sama tindakan ini memberi implikasi kepada jenama kelab berkenaan yang tidak dapat menyelesaikan masalah dalam masing-masing," katanya.