PRK: Jangan sentuh isu 3R semasa berkempen - Azalina

Azalina melepaskan peserta konvoi dalam Majlis Semarak Malaysia Merdeka Peringkat Parlimen Pengerang di Dewan Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Khamis.
Azalina melepaskan peserta konvoi dalam Majlis Semarak Malaysia Merdeka Peringkat Parlimen Pengerang di Dewan Kejora, Bandar Penawar, Kota Tinggi pada Khamis.
A
A
A

KOTA TINGGI - Semua parti politik diingatkan supaya tidak memainkan isu agama, raja dan kaum (3R) ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram yang bermula Sabtu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institut), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, semua parti perlu berkempen secara bersih dan bertanggungjawab.

"Elemen 3R itu tidak wajar dipakai untuk PRK di Johor. Saya berharap parti politik yang bertanding di Johor (tidak memainkan sentimen 3R) dan rakyat di Johor lebih waras pemikirannya bahawa sentimen 3R itu tidak boleh dipakai.

"Rakyat melihat dan menilai. Kita mesti letak untuk mahukan wakil rakyat yang boleh membawa kejayaan kepada kawasan tersebut pada pilihan raya nanti," ujarnya.

Ahli Parlimen Pengerang itu berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Majlis Semarak Malaysia Merdeka Peringkat Parlimen Pengerang di Dewan Kejora, Bandar Penawar di sini pada Khamis.

Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO turut mengingatkan sentimen 3R tidak boleh dimainkan dalam mana-mana platform media sosial dan mereka yang berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut undang-undang pilihan raya.

Mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gelombang sokongan rakyat terhadap gabungan itu kini dirasai dalam PRK negeri ini, beliau berkata, itu hanya pendapat bekas Perdana Menteri tersebut.

"Itu pandangan dia, memang dalam politik ada demokrasi tetapi saya nak ingatkan semua pihak tentang akta kesalahan pilihan raya. Tak boleh kita mengambil kesempatan daripada lakuna yang ada pada akta kesalahan pilihan raya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya sama ada UMNO kini masih lagi boleh dikategorikan sebagai parti memperjuangkan orang Melayu dan Islam, beliau berkata, parti tersebut masih menjadi wadah perjuangan Melayu.

"UMNO memang parti Melayu Islam, itu Perlembagaan UMNO, apa-apa pun ikut Perlembagaan dan kita memang memperjuangkan hak orang Melayu, orang Islam dan bahasa Malaysia dalam Perlembagaan selagi itu menjadi tulang belakang kepada perjuangan UMNO.

"Itulah matlamat dan makna UMNO adalah parti Melayu dan Islam, namun mungkin perbezaan UMNO kami tidak ekstrem, kami satu parti politik yang hanya berlandaskan perhubungan gabungan politik atas perpaduan daripada kewujudan BN sampai hari ini," jelas beliau.