Tahap aktif askar wataniah tahun lalu gagal capai sasaran

Tengku Sarafudin meninjau sesi taklimat pegawai kepada anggota askar wataniah selepas melancarkan latihan askar wataniah Rejimen 513 di Kem Bukit Pinang, Alor Setar pada Sabtu.
Tengku Sarafudin meninjau sesi taklimat pegawai kepada anggota askar wataniah selepas melancarkan latihan askar wataniah Rejimen 513 di Kem Bukit Pinang, Alor Setar pada Sabtu.
A
A
A

ALOR SETAR - Tahap keaktifan askar wataniah pada tahun lalu gagal mencapai sasaran iaitu 30.5 peratus berbanding sasaran sebanyak 70 peratus.

Raja Muda Kedah, Brigedier Jeneral Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin sehubungan itu mahu setiap anggota askar wataniah aktif menjalani latihan khususnya bersama unit tetap dan latihan kem tahunan serta kursus peningkatan kerjaya.

“Perancangan menghadiri latihan hendaklah dibuat mengikut jadual. Pada tahun ini, Bahagian Pasukan Simpanan menetapkan paras keaktifan anggota sukarela adalah 75 peratus. Anggota hendaklah lebih aktif menghadiri latihan,” titah baginda.

Tengku Sarafudin yang juga Komander Rejimen 513 Askar Wataniah bertitah demikian ketika pelancaran latihan askar wataniah Rejimen 513 di Kem Bukit Pinang di sini pada Sabtu.

Baginda bertitah, pembabitan anggota askar wataniah tahun lalu akan dijadikan kayu pengukur untuk memperbaiki kekurangan supaya latihan pada tahun ini dapat mencapai objektif dan sasaran ditetapkan.

Tengku Sarafudin (tengah) bersama anggota selepas pelancaran latihan askar wataniah Rejimen 513 di Kem Bukit Pinang, Alor Setar pada Sabtu.
Tengku Sarafudin (tengah) bersama anggota selepas pelancaran latihan askar wataniah Rejimen 513 di Kem Bukit Pinang, Alor Setar pada Sabtu.

“Pada tahun lalu, prestasi kehadiran latihan secara keseluruhannya masih tidak capai sasaran. Bagi latihan tempatan, rejimen merekodkan peratus kehadiran 28.7 peratus berbanding sasaran 30 peratus.

"Manakala bagi latihan berterusan mencapai sasaran ditetapkan iaitu 27 peratus berbanding sasaran 15 peratus. Latihan Kem Tahunan tidak mencapai sasaran dengan peratus kehadiran 20 peratus berbanding sasaran 30 peratus,” titah baginda.

Artikel Berkaitan:

Tengku Sarafudin bertitah, penularan Covid-19 menyebabkan rejimen berdepan cabaran untuk memastikan latihan dapat dilaksanakan dengan lancar.

“Untuk tahun 2021, sasaran untuk latihan tempatan ditingkatkan daripada 30 peratus kepada 35 peratus. Sasaran latihan berterusan pula ditingkatkan daripada 15 peratus kepada 20 peratus dan latihan kem tahunan diturunkan daripada 30 peratus kepada 25 peratus.

"Saya yakin sasaran ini dapat dicapai berdasarkan prestasi tahun-tahun lepas, selain berikan galakan kepada anggota serta memperbanyakkan tindakan proaktif supaya kehadiran latihan ditingkatkan,” titah baginda.

Sehubungan itu, titah baginda, pelaksanaan latihan pada tahun ini adalah lebih kreatif dan fleksibel selain tidak terikat pada hujung minggu sahaja.

“Latihan boleh mengikut kesesuaian masa masing-masing-masing dan lebih fleksibel. Tumpuan latihan pula lebih kepada Peperangan Di Kawasan Terbina atau ‘Operation In Built Up Area’ (OBUA). Lawatan dan syarahan untuk peningkatan pengetahuan juga diperbanyakkan,” titah baginda.

Selain itu, baginda juga mahu anggota askar wataniah dilengkapi dengan pengetahuan ketenteraan untuk melayakkan mereka dinaikkan pangkat, selain ilmu untuk digunakan selaras dengan jawatan masing-masing.

Tengku Sarafudin turut mengakui rejimen turut berdepan beberapa masalah berkaitan infrastruktur dan logistik menyebabkan latihan yang dijalankan terjejas dan berdepan kesukaran.

“Saya percaya pucuk pimpinan Tentera Darat berusaha keras untuk menyelesaikan masalah ini yang bukan sahaja berlaku dalam pasukan ini, malah pasukan lain dalam Tentera Darat,” titah baginda.