15 permohonan perkahwinan bawah umur di Kelantan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Sebanyak 15 permohonan perkahwinan bawah umur telah dikemukakan di Mahkamah Syariah di negeri ini bagi tempoh 2018 sehingga awal tahun ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Kelantan, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty berkata, daripada jumlah itu hanya 10 permohonan diluluskan yang melibatkan pasangan berumur 15 tahun ke atas.

“Walaupun jumlah ini dilihat kecil, tetapi perkahwinan bawah umur harus dicegah awal kerana dikhuatiri menimbulkan pelbagai masalah kepada pasangan muda,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Forum Perdana ‘Perkahwinan Dalam Kalangan Kanak-Kanak: Apa Kata Pakar’ di Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian di sini, hari ini.

Majlis yang dirasmikan oleh Pengarah Kampus USM Prof Datuk Dr Ahmad Sukari Halim itu turut dihadiri 200 peserta dan melibatkan dua anggota panel lain iaitu Ketua Jabatan Perubatan Keluarga, Pusat Pengajian Sains Perubatan (PPSP) USM, Prof Madya Dr Rosediani Muhamad dan Pegawai Fatwa Jabatan Mufti negeri, Naim Md Ghazali.

Bagaimanapun, menurutnya, mahkamah tidak menggalakkan kahwin muda kerana terdapat pelbagai kesan.

“Antaranya bagaimana pasangan muda ini nak urus rumah tangga, ekonomi keluarga dan individu juga dilihat sukar untuk berkembang termasuk sudut pendidikan dan sosial,” katanya.

“Kalau hanya mempunyai Sijil Penilaian Menengah Rendah (PMR) nak ada kemajuan diri tak boleh, berbeza jika kita benarkan pasangan berkahwin pada usia 18 tahun ke atas sekurang-kurangnya mereka sudah ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Abu Bakar berkata, Kerajaan Arab Saudi pada Januari lalu sudah mengharamkan perkahwinan pasangan berumur 15 tahun, manakala kebenaran mahkamah diperlukan bagi pasangan 18 tahun ke bawah.

“Kita pula mengikut enakmen yang ada, masih mempunyai kelonggaran bagi pasangan 15 tahun untuk berkahwin dengan syarat mendapat kebenaran mahkamah.

“Kita serahkan kepada pemerintah jika melihat perkara ini perlu untuk diselaraskan (tidak benarkan kahwin bagi pasangan 18 tahun ke bawah) kalau peraturan larangan merokok boleh dilaksanakan, larangan kenderaan berat di jalan raya semasa musim perayaan apatah lagi pelaksanaan perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 2,226 permohonan perkahwinan bawah umur dikemukakan bagi tempoh 2001 sehingga 2017, namun hanya 200 permohonan tidak luluskan oleh sebab tertentu termasuk pasangan tidak hadir ke mahkamah. - Bernama