Tiga ADUN Pahang belum terima suntikan vaksin Covid-19

Wan Rosdy (tengah) menunjukkan plakad sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 (Dos Kedua) Peringkat Negeri Pahang.
Wan Rosdy (tengah) menunjukkan plakad sudah melengkapkan suntikan vaksin Covid-19 pada Program Imunisasi Covid-19 (Dos Kedua) Peringkat Negeri Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Tiga daripada 42 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang masih belum mendapatkan suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ketiga-tiga ADUN itu bukan menolak vaksin sebaliknya atas faktor kesihatan.

Menurutnya, kesemua ADUN itu sudah mendapat nasihat daripada doktor sebelum menangguhkan pengambilan dos pertama vaksin berkenaan.

"Saya percaya selepas ini tiga ADUN itu akan mendapatkan suntikan masing-masing," katanya pada Program Imunisasi Covid-19 (Dos Kedua) Peringkat Negeri Pahang dan Majlis Pelancaran Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah pada Jumaat.

Pada majlis sama, Wan Rosdy turut melancarkan Sistem Imunisasi Covid-19 Pahang (SICP).

Turut hadir Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Abd Jalil Hassan.

Sementara itu, Wan Rosdy berkata, kerajaan negeri akan membeli sendiri 10,000 dos tambahan vaksin Covid-19 dan sudah mendapat persetujuan daripada kerajaan Pusat.

"Kalau boleh kita mahu semua rakyat Pahang mendapat suntikan vaksin. Kita tiada pilihan dan cara lain kecuali mendapat suntikan itu," katanya.

Artikel Berkaitan: