Isu air: MB Kelantan belum terima jemputan PM

Muhamad Zaki (kanan) diiringi Ahmad (tengah) menyampaikan surat penghargaan kepada Shuhaimi (kiri) pada majlis tersebut.
Muhamad Zaki (kanan) diiringi Ahmad (tengah) menyampaikan surat penghargaan kepada Shuhaimi (kiri) pada majlis tersebut.
A
A
A

KOTA BHARU - Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob belum lagi menerima sebarang jemputan secara rasmi daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkaitan usaha untuk menyelesaikan isu air di negeri ini.

“Saya belum terima apa-apa surat setakat ini.

“Kita tunggu dan bersabar terlebih dahulu,” kata Ahmad ringkas ketika ditemui di Majlis Sambutan Hari Raya Adilfitri 2023 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini pada Rabu.

Turut hadir, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan isteri Datin Suzana Yashin.

Ahad lalu, akhbar melaporkan Anwar akan mengundang Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Nor dan Ahmad dalam tempoh dua minggu ini bagi mencari penyelesaian isu berkenaan di kedua-dua negeri.

Anwar memberitahu amat komited dalam mencari kaedah kepada isu tersebut setelah mendapat input permasalahan daripada pemimpin negeri berkenaan berhubung masalah yang membelenggu kedua-dua negeri sejak sekian lama itu.

Beliau tidak mahu rakyat masih lagi dibebankan masalah untuk minum air bersih walaupun setelah negara 60 tahun merdeka.

Pemimpin itu juga berharap kerajaan-kerajaan negeri akan lebih mudah memberi kerjasama penuh dengan kerajaan Persekutuan dalam merealisasikan hasrat berkenaan bagi memastikan rakyat tidak lagi terbeban dengan isu tersebut.

Pada majlis itu, turut disampaikan surat penghargaan kepada Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kelantan, Superintenden Shuhaimi Jusoh atas kejayaan jabatan itu meraih tempat ketiga Op Selamat Sempena Hari Raya Aidilfitri 2023 peringkat Malaysia.