Kerajaan Kedah perlu adil terhadap golongan minoriti: DAP

Kok Yew (lima dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa DAP Kedah sesi 2021-2023 selepas Konvensyen Biasa DAP Kedah di Alor Setar pada Jumaat.
Kok Yew (lima dari kiri) bersama Ahli Jawatankuasa DAP Kedah sesi 2021-2023 selepas Konvensyen Biasa DAP Kedah di Alor Setar pada Jumaat.
A
A
A

ALOR SETAR - DAP Kedah menggesa kerajaan negeri pimpinan Pas berlaku adil terhadap golongan minoriti di negeri ini.

Pengerusinya, Tan Kok Yew berkata, pihaknya menerima satu lagi aduan penduduk berhubung sebuah kuil Hindu di Sungai Petani yang akan dirobohkan.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri perlu menghentikan tindakan perobohan itu, sebaliknya berbincang bersama wakil-wakil semua agama di negeri ini untuk mencari penyelesaian yang dapat memberi keselesaan kepada semua rakyat.

“Kami bukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang, (tetapi) kami ADUN pelengkap. Apa yang kami anggap kerajaan buat salah, kami tegur. Apa yang kerajaan Perikatan Nasional (PN) terlupa, kami peringatkan. Apa yang kurang, kami sama-sama lengkapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Biasa DAP Kedah 2021 dan Sambutan Ulang Tahun DAP ke-55 yang dirasmikan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng di sini pada Jumaat.

Kok Yew berkata, rakyat pasti berasa lebih sejahtera dan negeri akan makmur sekiranya ditadbir urus dengan hala tuju yang jelas, telus, beramanah dan adil kepada semua kaum.

“Janganlah buat semua orang pening dengan prosedur operasi standard (SOP) berubah-ubah, tak tentu arah dan ikut darjat antara menteri dan rakyat. Di manakah kesamarataan?” katanya.

Sementara itu, Kok Yew turut menyelar kenyataan Ketua Pemuda Pas Kedah yang juga merupakan Pegawai Khas Menteri Besar Kedah bahawa nilai pelaburan ke Kedah adalah RM68 bilion selepas 302 hari PN ambil alih kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mengikut laporan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dikeluarkan pada 3 Mac lalu, pelaburan tertinggi diluluskan pada tahun 2020 ialah Selangor sebanyak RM38.7 bilion, diikuti Sabah (RM21.0 bilion), Sarawak (RM19.6 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM17.1 bilion) dan Pulau Pinang (RM16.0 bilion).

"Di manakah kedudukan Kedah?” soal beliau.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri tidak mengelirukan rakyat dengan memberi fakta-fakta tidak sahih.

Dalam pada itu, Kok Yew berkata, konvensyen tahun ini dihadiri perwakilan terbesar iaitu seramai 357 perwakilan berbanding 120 perwakilan pada tahun lepas.

DAP Kedah mempunyai cawangan di 13 kawasan Parlimen seluruh negeri kecuali di Padang Terap dan Jerlun.

Pada konvensyen itu, Kok Yew sekali lagi diberi mandat menerajui DAP Kedah bagi sesi 2021-2023.