Kerjasama Pas-UMNO demi Islam, Melayu, Bumiputera

Idris
A
A

KUALA LUMPUR - Naib Presiden Pas, Idris Ahmad menjelaskan parti itu bekerjasama dengan UMNO atas prinsip sama, iaitu Islam dan masa depan Melayu serta Bumiputera.

Idris berkata, bagaimanapun persahabatan itu tidak membawa maksud bahawa Pas akan menjadi UMNO atau UMNO menjadi Pas.

“Sekarang Pas bekerjasama dengan Umno, masih atas prinsip yang sama. Islam tetap menjadi asas untuk berkawan. Pas tidak jadi Umno, Umno tidak jadi Pas. Pas ambil hak persamaan iaitu Islam dan masa depan Melayu dan bumiputera.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerjasama Pas-Umno ikut keperluan semasa

“Apabila merugikan Islam, walaupun untung dapat kuasa, Pas tarik handbrake. Pas tidak pernah rugi. Pas boleh berkawan dengan siapa sahaja untuk kepentingan Islam dan boleh berpisah juga apabila tidak menguntungkan Islam,” katanya melalui kenyataan, hari ini.

Mengambil contoh kerjasama bersama DAP dan PKR sebelum ini, Idris menjelaskan kerjasama itu juga mempunyai prinsip yang sama pada ketika itu.

“Bukan PAS tidak tahu mereka ada masalah peribadi dan pemikiran. DAP istiqamah menentang konsep negara Islam, memperjuangkan sekular, konsep Malaysian Malaysia tetapi Pas ambil yang ada persamaan antara parti yang bertahaluf seperti menentang rasuah, ISA, AUKU, ketirisan dan sebagainya.

“Syarat utama dasar Pas tidak boleh diganggu dan Pas bebas menegakkan idealisma perjuangannya. Pas tidak jadi DAP, DAP tidak jadi Pas,” katanya.

Dalam pada itu katanya, pada ketika ini ada usaha untuk merosakkan kerjasama Pas-UMNO kerana hubungan itu dinilai mampu mendatangkan bahaya kepada parti lawan.

“Musuh Pas cuba mengelirukan masyarakat supaya kerjasama Pas dengan UMNO dihancurkan. Bahaya kepada politik mereka, kerana kedua-dua parti yang mempunyai kekuatan akar umbi.

“Cuba menyusun gerakan meragukan ahli dan penyokong Pas, alhamdulillah belum berjaya,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia