'Prestasi menteri membimbangkan'

Norhiesam ditemubual dalam Live Sinar Harian tadi.
Norhiesam ditemubual dalam Live Sinar Harian tadi.
A
A
A

GEORGETOWN- Prestasi barisan menteri Kabinet dalam kerajaan baharu dilihat berada dalam tahap membimbangkan kerana sehingga kini, tiada satu pencapaian yang boleh dibanggakan.

Ketua Pemuda UMNO Nibong Tebal, Mohd Norhiesam Ismail berkata, kebanyakan menteri dalam kerajaan PH sering dijadikan mainan dan sindiran rakyat kerana dibelenggu dengan pelbagai isu.

Menurutnya, lebih membimbangkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan tidak gembira dengan prestasi barisan menteri Kabinetnya.

"Perkara ini bukan sahaja dirasai rakyat malah Tun sendiri tidak gembira dengan prestasi menteri pada hari ini. Bagi saya, menteri baharu ini terlalu banyak isu sehingga tidak dihormati dan dijadikan bahan sindiran.

"Terbaharu, isu menipu kelulusan akademik. Perkara ini secara tidak langsung menjejaskan imej menteri itu sendiri sekaligus memburukkan nama parti. Selain itu, ada beberapa menteri seperti Mujahid dan Maszlee sering dihentam kerana sering membuat kenyataan yang tidak masuk akal," katanya dalam Sinar Harian Live tadi.

Tambahnya, menteri dalam PH juga didapati gagal untuk memperkasakan kementerian masing-masing dan leka dengan jawatan baharu mereka.

"Saya lihat, kredibiliti menteri ini, ntah apa-apa. Main golf dan 'main game' dalam pejabat. Adakah ini taraf menteri yang kita mahukan? Sepatutnya, mereka memikirkan cara untuk memajukan kementerian masing-masing, bukannya melebihkan isu peribadi melalui media sosial.

"Selama sembilan bulan memerintah, apa yang mereka telah lakukan? Hanya menyambung usaha menteri terdahulu sahaja. Saya percaya, setelah sembilan bulan, rakyat semakin tidak yakin dengan menteri di bawah PH ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai senario politik masa ini, Norhiesam berkata, ia terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa ingin melihat perubahan dan fasa muak dengan janji yang tidak ditepati.

"Pada awalnya, rakyat dalam mood ingin melihat perubahan besar dalam pentadbiran negara kerana merasakan pentadbiran BN dahulu tidak bagus. Pada waktu itu, kesalahan dan semua yang buruk diletakkan pada BN.

"Namun, selepas empat bulan memerintah, rakyat mula resah dengan sikap pemimpin PH yang langsung tidak mementingkan rakyat. Malah manifesto yang mereka janjikan juga langsung tidak ditepati. Banyak isu yang gagal ditangani oleh barisan menteri di bawah Tun Mahathir.

"Kos sara hidup juga dilihat semakin tinggi walaupun cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan. Lebih parah, mereka memperkenalkan cukai jualan dan khidmat (SST) yang jelas membebankan rakyat," katanya.