'Niat menjaja baik, tetapi tetap kesalahan'

Tindakan menjual barangan atau produk di laluan persimpangan lampu isyarat dibimbangi akan menyebabkan risiko bahaya kepada pengguna lalu lintas lain. Gambar kecil: Azman Shariat
Tindakan menjual barangan atau produk di laluan persimpangan lampu isyarat dibimbangi akan menyebabkan risiko bahaya kepada pengguna lalu lintas lain. Gambar kecil: Azman Shariat
A
A
A

[LAPORAN KHAS] TINDAKAN menjual barangan atau produk di laluan persimpangan lampu isyarat merupakan satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, sebelum ini, pihaknya pernah mengambil tindakan ke atas beberapa individu yang didapati menjual makanan seperti jeruk mangga di laluan persimpangan lampu isyarat sekitar negeri ini.

Beliau berkata, walaupun belum ada sebarang kejadian kemalangan berlaku berpunca daripada aktiviti jualan tersebut namun tindakan berkenaan dibimbangi akan menyebabkan risiko bahaya kepada pengguna lalu lintas lain.

"Polis pernah mengambil tindakan saman ke atas aktiviti jualan ini kerana ia menyalahi undang-undang di bawah APJ 1987 dan ia mengundang risiko bahaya kepada pengguna lalu lintas lain," katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Azman berkata, pihaknya memahami usaha ditunjukkan oleh penjual-penjual berkenaan sememangnya amat baik dalam menambah sumber pendapatan masing-masing namun aspek perundangan juga perlu diberikan perhatian.

Beliau berkata, tindakan penjual berkenaan berkemungkinan akan mengundang risiko bahaya khususnya kepada penunggang-penunggang motosikal yang melalui di celahan kenderaan sewaktu tiba di persimpangan lampu isyarat terlibat.

"Tindakan ini berisiko kepada pengguna lalu lintas lain dan disebabkan itulah kita terpaksa mengeluarkan saman kepada penjual-penjual terlibat walaupun kita tahu niat mereka adalah untuk menambah pendapatan sampingan," katanya.

Tambah Azman, pihaknya akan meneruskan pemantauan dan menguatkuasakan undang-undang yang diperutukkan melibatkan aktiviti jualan berkenaan bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Kita dah ambil beberapa tindakan sebelum ini dan akan teruskan lagi selepas ini," katanya.