Illi Najwa tidak pernah keluar Islam

Sultan Ibrahim menerima menghadap Ili Najwa di Pejabat Mados Istana Bukit Pelangi pada Khamis. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim menerima menghadap Ili Najwa di Pejabat Mados Istana Bukit Pelangi pada Khamis. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Siasatan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mendapati Illi Najwa Anuar Hussin Saddique yang berkahwin dengan Kapten Hoki India, Manpreet Singh Pawar, tidak pernah keluar daripada Islam.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hasil siasatan berkenaan telah dipersembahkan Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah JAINJ, Datuk Md Rofiki Shamsudin ketika menghadap baginda di Pejabat Mados, Istana Bukit Pelangi, di sini pada Khamis.

Hadir sama menghadap Sultan Johor dalam pertemuan berkenaan ialah Illi Najwa.

Pada pertemuan itu, Yahya turut mempersembahkan hasil siasatan penuh JAINJ berhubung status perkahwinan dan keagamaan Illi Najwa bersama pasangannya.

Yahya berkata, siasatan secara menyeluruh dijalankan oleh JAINJ dan mendapati Illi Najwa masih Islam.

"Pihak JAINJ telah memanggil Illi Najwa bersama ibunya serta beberapa saksi lain dan keterangan juga diambil daripada mereka.

"Hasil siasatan mendapati Illi Najwa tidak pernah keluar daripada Islam, malah pada hari ini beliau (Illi Najwa) juga hadir bersama kami untuk menghadap Tuanku Sultan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sultan Ibrahim menerima menghadap Illi Najwa (tiga dari kanan), Yahya (dua dari kanan) dan Md Rofiki (kanan) di Pejabat Mados Istana Bukit Pelangi pada Khamis. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sultan Ibrahim menerima menghadap Illi Najwa (tiga dari kanan), Yahya (dua dari kanan) dan Md Rofiki (kanan) di Pejabat Mados Istana Bukit Pelangi pada Khamis. - Foto Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Menurut Yahya, pendaftaran perkahwinan pasangan itu di Johor Bahru juga kini dalam proses.

"Tiada apa-apa masalah untuk didaftarkan perkahwinan mereka dan isu ini juga sudah selesai," katanya.

Pada Disember tahun lalu, Sultan Ibrahim menitahkan JAINJ dan Jabatan Mufti Johor menyiasat status terkini agama wanita berkenaan yang dilaporkan berkahwin dengan Kapten Hoki India.

Sultan Johor dilaporkan bertitah, sebagai Ketua Agama Islam Johor, baginda bertanggungjawab memelihara kedudukan Islam supaya sentiasa terpelihara dan dipandang mulia selari dengan Perkara 57 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor 1895 dan Perkara 3 Perlembagaan.

Isu membabitkan Illi Najwa timbul selepas tular beberapa gambar dan video wanita itu melangsungkan majlis perkahwinan tersebut pada Disember tahun lalu.

Media tempatan melaporkan pasangan itu dipercayai melangsungkan majlis resepsi perkahwinan di Mithapur dekat Jalandhar, Punjab.

Pemuda berusia 28 tahun itu dilihat mengenakan sut perkahwinan punjabi, manakala isterinya memakai pakaian pengantin punjabi ketika mereka bertukar ikrar perkahwinan.