X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

Budi bicara jumlah kompaun berdasarkan kategori

ABDUL HAMID
A
A

SHAH ALAM – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya melaksanakan penguatkuasaan bagi penawaran kompaun maksimum RM10,000 atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya hanya diberikan kuasa untuk menangkap pesalah dan menawarkan kompaun tersebut.

Bagaimanapun menurutnya, dengan pelaksanaan Seksyen 25 di bawah Akta 342 berdasarkan tiga kategori diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada Rabu, pegawai bertugas boleh menggunakan budi bicara berdasarkan peraturan yang ditetapkan.

“Menteri undang-undang telah membuat satu kenyataan yang menjelaskan bagaimana kompaun RM10,000 ini akan diperturunkan kuasa kepada pegawai-pegawai di bawah untuk menetapkan berapa jumlah kompaun bagi setiap kesalahan.

“Saya tahu daripada mula lagi orang ramai marah tentang kompaun RM10,000 ini. Tetapi mereka lupa sebab di sebalik pindaan yang dibuat untuk menaikkan nilai kompaun ini,” katanya dalam program Sinar Live bersama KPN, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang dikendalikan oleh Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaafar, di Karangkraf pada Rabu.

Dalam pada itu, Abdul Hamid mendedahkan terdapat kes individu yang telah dikompaun RM1,000 masih melakukan kesalahan berulang.

“Terdapat kes di mana orang yang telah dikompaun RM1,000 mengulangi kesalahan seolah-olah RM1,000 itu tiada apa-apa dan berani mencabar,” katanya.

Takiyuddin pada Rabu mengumumkan tiga kategori pelaksanaan Seksyen 25 di bawah Akta 342 iaitu kategori pertama melibatkan kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tinggi atau impak jangkitan pada skala besar.

Kedua, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tetapi tidak memberi impak jangkitan kepada komuniti manakala kategori ketiga, kesalahan yang menyebabkan risiko penularan yang rendah atau tiada langsung kesan kepada komuniti.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!