X

Kindly register in order to view this article
!

Bekas pengurus syarikat telekomunikasi dijel, denda bocor maklumat pelanggan

Gambar hiasan.
A
A

SHAH ALAM - Seorang bekas pengurus bahagian syarikat telekomunikasi dipenjara sebulan dan denda RM61,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan menerima rasuah bagi membocorkan maklumat dan nombor pelanggan.

Hakim Rozilah Salleh memerintahkan Norazman Mohd Nor, 50, dipenjara sebulan bagi setiap pertuduhan yang kesemuanya berjalan serentak dan tambahan penjara 14 bulan lagi jika tertuduh gagal membayar denda.

Ketika pertuduhan dibacakan, bapa kepada dua orang anak itu dilihat terduduk dan menangis.

Mengikut kesemua pertuduhan, Norazman didakwa menerima suapan berjumlah RM10,200 melalui pindahan dalam talian daripada dua individu sebagai upah untuk memberikan maklumat dan nombor pelanggan prabayar kepada mereka.

Norazman dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di dua buah bank sekitar Petaling Jaya, dekat sini, antara 24 Mei 2017 hingga 7 Februari 2019.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.

Dalam prosiding sama, mahkamah melepas dan membebaskan Norazman atas 24 pertuduhan menerima suapan sebanyak RM304,989 termasuk dalam bentuk dua keping cek, antara 14 Mei 2014 hingga 11 September 2020.

Peguam Muhammad Afiq Ab Aziz dan Muhammad Hanis Nasrullah Mohd Pauzi memohon hukuman ringan atas alasan tertuduh perlu menanggung keluarga selain mempunyai penyakit kronik antaranya darah tinggi dan sakit jantung.

Menurut peguam itu, Norazman yang bekerja sejak 1994 ditamatkan perkhidmatan pada 10 Mac lepas dan kini tidak mempunyai sumber pendapatan tetap selain perlu menyara ibunya yang sakit serta seorang anaknya merupakan orang kurang upaya (OKU).

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin serta Pegawai Pendakwa SPRM, Natrah Fareha Rahmat dan Ikhwan Zaudii Rahmat. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!