Bekas pengurus tidak mengaku terima suapan

Shahrizal Ridzuan (dua dari kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, pada Rabu.
Shahrizal Ridzuan (dua dari kanan) ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu, pada Rabu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Bekas pengurus sebuah anak syarikat kerajaan negeri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas dakwaan salah guna kuasa melibatkan pembekalan kad sim bernilai RM4,428.60.

Tertuduh, Shahrizal Ridzuan Ambak, 46, membuat pengakuan selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatan sebagai seorang pegawai badan awam iaitu pengurus bahagian pentadbiran dan sumber manusia di Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd untuk mendapatkan suapan bagi dirinya.

Tertuduh didakwa mengambil tindakan untuk membuat pembekalan kad sim ONEXOX kepada 117 orang pekerja baharu warga India yang mana dia mempunyai kepentingan iaitu ejen pembekalan kad sim tersebut merupakan anaknya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Julai hingga September tahun lalu di Ladang Rakyat Terengganu di Cheneh, Kemaman.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (ASPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Mahkamah kemudian menetapkan tertuduh dijamin sebanyak RM7,000 oleh seorang penjamin dan diperintahkan untuk tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Tertuduh juga diarahkan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM berdekatan sebulan sekali sehingga kes selesai.

Hakim menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 3 Ogos depan untuk serahan dokumen.

Pendakwaan kes itu dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Raihan Yusoff dan Nur Athikah Aziz manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.