Kastam tumpas sindiket pengedaran pil Tramadol RM22j

Subromaniam (tengah) menunjukkan dadah jenis ekstasi bernilai RM1.5 juta serta pil yang tidak berdaftar bernilai hampir RM22 juta yang dirampas selepas sesi sidang media di Pejabat Penguatkuasaan Kastam Dengkil hari ini. - Foto Bernama
A
A

SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan sindiket penyeludupan pil Tramadol bernilai RM22 juta selepas menahan lapan buah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, pada September lepas.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri T Subromaniam berkata kontena yang mengandungi 122.6 juta biji pil Tramadol kekuatan tinggi dan 600 liter cecair Tramadol serta 38.8 juta pil-pil lain itu diikrarkan sebagai ubat-ubatan biasa dan barangan am.

Beliau berkata semua pil yang dirampas pada 12 dan 20 September itu adalah dari kontena yang didatangkan dari Pelabuhan Nhava Sheva, India.

“Siasatan awal mendapati barang dagangan tersebut hanya menggunakan Malaysia sebagai transit dengan destinasi akhir adalah ke Nigeria.

“Tetapi kita tidak menolak kemungkinan ‘persinggahan’ itu bagi tujuan menukar dokumen untuk dipasarkan di pasaran tempatan,” katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM Dengkil, di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas syarikat perkapalan terbabit kerana cubaan menipu pihak berkuasa dengan mengikrar barangan tersebut dengan barangan dagangan lain.

Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun.

Dalam pada itu, Subromaniam berkata JKDM telah merampas dadah jenis ekstasi daripada sindiket pengedaran dadah antarabangsa bernilai hampir RM1.5 juta dalam dua serbuan berasingan pada 19 dan 26 November lalu.

Beliau berkata dalam kes pertama, pihaknya merampas sebuah parcel antarabangsa mengandungi 24,630 pil ekstasi selepas menahan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun.

Subromaniam berkata parcel yang dituntut di Poslaju Glenmarie, Shah Alam oleh lelaki tersebut yang diikrarkan sebagai coklat itu dikirim daripada Jerman.

Bagi kes kedua pula, beliau berkata pihaknya telah menahan dua lelaki warga tempatan berumur 33 dan 34 tahun ketika cuba mengambil parcel di Poslaju Balakong.

Susulan itu, katanya anggota JKDM berjaya merampas sebuah parcel antarabangsa yang mengandungi 24,300 biji pil ekstasi yang diikrarkan sebagai coklat daripada Jerman.

Katanya ketiga-tiga suspek kini ditahan reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - Bernama

Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia