Bayar kompaun awal boleh dapat diskaun 50 peratus

Takiyuddin dalam sidang media, hari ini.
Takiyuddin dalam sidang media, hari ini.
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Individu dan syarikat yang dikenakan kompaun berdasarkan kesalahan di bawah Akta 342 kini boleh mendapat pengurangan bayaran sehingga 50 peratus.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kabinet yang bersidang pada Rabu.

"Seseorang individu atau syarikat yang disaman dan dikenakan kompaun serta membayarnya dalam tempoh tujuh hari secara automatik boleh mendapatkan diskaun 50 peratus," katanya pada sidang akhbar bersama Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba pada Rabu.

Menurutnya, jika pembayaran dibuat dalam tempoh 14 hari, individu atau syarikat berkenaan layak mendapat pengurangan sebanyak 25 peratus.

"Jika tidak membuat bayaran selepas 14 hari, mereka tidak akan mendapat sebarang pengurangan," katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi pertimbangan kepada orang kurang upaya (OKU) dan miskin yang dikenakan kompaun untuk mendapat lebih pengurangan dengan membuat rayuan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui saluran tertentu.

"Di Labuan, mereka boleh merayu dengan tiga pegawai iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan Pengarah Negeri (Kesihatan Awam) dan Pengarah Kesihatan Epidemiologi," katanya.

Takiyuddin berkata, di Semenanjung rayuan boleh dibuat kepada empat pegawai iaitu Pengarah Kesihatan Negeri, Timbalan Pengarah Negeri (Kesihatan Awam), Pegawai Daerah dan Pengarah Kesihatan Epidemiologi.

Artikel Berkaitan:

"Begitu juga di Sabah dan Sarawak," katanya.

Menurutnya, setiap permohonan rayuan perlu dikemukakan bukti sokongan dan borang pengurangan kompaun boleh didapati di laman sesawang KKM.

Jelasnya, kompaun yang dikenakan bukan sebagai hukuman atau mendera rakyat sebaliknya untuk mengawal penularan jangkitan Covid-19.

"Dalam suasana negara menghadapi pandemik ini, kita perlukan undang-undang untuk mengawal manakala kompaun yang dikeluarkan merupakan langkah akhir dalam penguatkuasaan akta tersebut.

"KKM dan polis sendiri telah mengarahkan pegawai mereka bahawa ia adalah langkah akhir. Sebelum itu, mereka akan membuat teguran dan memberi arahan yang perlu. Sekiranya ingkar, Pasukan Penguatkuasaan Perlaksanaan SOP barulah keluarkan kompaun," katanya.

Pada perkembangan sama, Takiyuddin berkata, kerajaan telah menggariskan tiga kategori kesalahan di bawah Akta 342 iaitu kesalahan tinggi, sederhana dan normal.

"Kategori pertama merupakan kesalahan yang menyebabkan risiko penularan tinggi atau memberi impak jangkitan Covid-19 kepada komuniti pada skala besar.

"Maknanya kesalahan menyebabkan kesan jangkitan Covid-19 yang besar," katanya.

Menurutnya, kategori kedua pula merupakan kesalahan menyebabkan risiko penularan yang tinggi namun tidak memberi impak jangkitan kepada komuniti.

"Bagi kategori ketiga, kesalahan adalah menyebabkan risiko penularan Covid-19 yang rendah dan tiada kesan langsung kepada komuniti. Ini lebih kepada kesalahan individu," katanya.

Beliau berkata, setakat ini terdapat tujuh kesalahan yang disenaraikan dalam kategori satu.

"Contohnya Subseksyen 10 (2) yang mengatakan mana-mana pengamal perubatan tidak memberikan notis kepada KKM yang ditetapkan di bawah peraturan tentang wujudnya penyakit berjangkit, jika melakukan kesalahan ia boleh dikenakan kompaun yang dicadangkan RM5,000," katanya.

Selain itu, katanya, mana-mana individu yang telah melakukan kesalahan kerana memasuki atau berada di kelab malam, termasuklah di tempat- tempat perniagaan atau restoran kelab malam yang mana ia tidak dibenarkan turut disenarai antara tujuh kesalahan kategori satu.

"Jika kesalahan individu, kerajaan tawarkan kompaun maksimum RM10,000 manakala RM50,000 dikenakan terhadap peniaga atau pemilik premis yang membuka kelab malam," katanya.