'Pekeliling mana kami hendak ikut?'

Noh pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Wisma TNB Subang Jaya pada Selasa.
Noh pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid di Wisma TNB Subang Jaya pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) diminta memberi penjelasan berhubung surat pekeliling dikeluarkan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian yang tidak membenarkan orang kenamaan (VIP) termasuk pemimpin politik kerajaan menghadiri sebarang program dan masuk ke sekolah.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar berkata, pekeliling dikeluarkan pada 8 Mac itu berbeza dengan pekeliling sebelumnya yang dikeluarkan Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan pada 27 Januari lalu.

"Pekeliling Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan secara jelas menyatakan boleh menjemput VIP untuk merasmikan sebarang majlis dan boleh dibuat secara maya, sedangkan pekeliling terbaharu tidak boleh berbuat demikian," katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan bersama Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid di Aras 5 Wisma TNB, Subang Jaya pada Selasa.

Noh berkata, arahan itu dianggap sama seperti beliau menjadi ahli Parlimen pembangkang semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PH).

"Waktu saya menjadi (ahli Parlimen) pembangkang, saya tidak langsung (dibenarkan) masuk ke sekolah, tetapi sekarang ini, saya sudah menjadi (ahli Parlimen) kerajaan pun tidak boleh masuk ke sekolah," katanya.

Justeru, katanya, Menteri Pendidikan, Dr Mohd Radzi Md Jidin diminta memberi penjelasan sama ada ahli Parlimen perlu mengikut pekeliling daripada Timbalan Ketua Pengarah atau Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian.

"Saya tidak tahu sama ada menteri (Pendidikan) tahu atau pun tidak tentang perkara ini dan pekeliling mana yang hendak kami ikuti?" katanya.

Katanya, pihak sekolah dan pemimpin setempat seharusnya mempunyai hubungan yang akrab dan rapat demi memastikan agenda pendidikan negara berjalan lancar.

Artikel Berkaitan:

"Kita kena faham bahawa KPM tidak mempunyai peruntukan mencukupi untuk membantu menyelesaikan beberapa masalah sekolah di seluruh negara ini.

"Jadi, inilah peranan pemimpin tempatan seperti ahli Parlimen yang mempunyai peruntukan untuk membantu dan memberikan sumbangan kepada sekolah," katanya.

Noh menegaskan, adakah disebabkan penularan pandamik Covid-19 menyebabkan VIP dan pemimpin politik dihalang untuk memasuki sekolah.

"Kalau Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) boleh diadakan, mengapa perasmi tidak dibenarkan masuk ke sekolah.

"Adakah kami ini membawa virus Covid-19, sedangkan kami ahli Parlimen termasuk menteri telah pun mengambil suntikan vaksin," katanya.