Kemasukan bekas Ahli Parlimen UMNO jejaskan PH di PRK Semenyih

Rafizi Ramli
A
A

KUALA LUMPUR - Kemasukan enam bekas Ahli Parlimen UMNO ke dalam parti Bersatu bakal melemahkan semangat penyokong dan pengundi PH dalam PRK Semenyih nanti.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, penerimaan enam Ahli Parlimen berkenaan juga berlawanan dengan mandat rakyat pada PRU14 lalu yang menolak UMNO-BN.

“Kalau tujuan untuk melemahkan UMNO, itu tidak melemahkan UMNO. Ia dilihat sebagai mengutip sampah dan berlawanan dengan mandat rakyat menolak UMNO-BN pada PRU14 lalu.

“Ia juga melunturkan semangat penyokong PH ke arah PRK Semenyih,” katanya melalui Twitter, hari ini.

Kelmarin, tujuh Ahli Parlimen Bebas menerima kad keahlian sebagai tanda penyertaan mereka ke dalam Bersatu daripada Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu majlis ringkas di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.

Dr Mahathir menyerahkan kad keahlian tersebut kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Shamsuddin; Datuk Seri Hamzah Zainuddin (Larut); Datuk Dr Latiff Ahmad (Mersing); Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu); Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh.

Ketika ini Bersatu mempunyai 22 Ahli Parlimen.

Selain Rafizi, beberapa pemimpin PH turut tidak berpuas hati dengan keputusan Bersatu menerima bekas Ahli Parlimen PH.

[ARTIKEL BERKAITAN: Bekas MP UMNO sertai Bersatu: 'Ia benar-benar memalukan']

Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya mempertahankan keputusan yang dibuat oleh partinya termasuklah pendirian Dr Mahathir.

Menurut Abu Bakar, tujuh Ahli Parlimen berkenaan bukan lagi daripada UMNO, sebaliknya mereka merupakan Ahli Parlimen Bebas yang menyatakan hasrat mereka ingin bersama-sama dalam perjuangan Bersatu.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia