Teroka industri kreatif selagi tidak langgar syarak

Muhammad Sanusi (kanan) menerima kerusi ‘director’ sebagai simbolik pelancaran 'The Puppet Master Trilogy' di Dewan Seri Mentaloon pada Isnin malam.
Muhammad Sanusi (kanan) menerima kerusi ‘director’ sebagai simbolik pelancaran 'The Puppet Master Trilogy' di Dewan Seri Mentaloon pada Isnin malam.
A
A
A

ALOR SETAR – Kedah akan menggerakkan ekonomi dalam pelbagai industri termasuk perfileman, seni dan budaya meskipun suasana negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selagi usaha menggiatkan seni dan budaya itu tidak bertentangan dengan syarak dan norma masyarakat, pihaknya bakal meneroka era baharu ini dalam merancakkan aktiviti ekonomi negeri.

Menurutnya, ini kerana industri kreatif multimedia global telah mencapai RM2.3 trilion pada 2010 dan dijangka melonjak berkali ganda selepas 2021 ekoran pandemik yang melanda dunia ketika ini.

“Pada 2018 hingga 2019, sebanyak 2,986 syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi berstatus aktif, mencatat nilai jualan RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.4 bilion selain menyediakan 11,471 peluang kerja.

"Namun, saya ingin berpesan agar kita tidak kehilangan identiti yang dibentuk menerusi kepelbagaian budaya dan keseniannya,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran 'The Puppet Master Trilogy' di Dewan Seri Mentaloon Isnin malam.

Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Zakaria Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berharap kemajuan fizikal dan material perlu diimbangi dengan kemajuan kesenian serta kebudayaan kerana ia dapat memperkukuhkan tamadun bangsa.

“Kebiasaannya seni dan budaya sesebuah negara mengalami kemelesetan dan kemiskinan kerana pengaruh luar serta perkembangan komunikasi, teknologi dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Jika dibiarkan tanpa ada usaha bersungguh-sungguh untuk memperjuangkannya, kemerosotan ini bakal menghakis sistem nilai yang ada untuk kelangsungan bangsa dan negara,” katanya.

Menurutnya, Kedah berbangga dengan pembikinan filem 'The Puppet Master Trilogy' yang diilhamkan daripada kisah benar seorang Tok Dalang Wayang Kulit Kedah tersohor era 70 dan 80an, Mat bin Lebai Lateh atau dikenali dengan panggilan Tok Khedheng.

“Saya yakin usaha mengangkat asas budaya masyarakat Kedah iaitu wayang kulit Kedah dan Manora Siam Kedah ke persada dunia akan membuahkan hasil positif.

"Ketika masyarakat leka mengejar kecanggihan teknologi dan inovasi dalam pembikinan filem, produksi diterajui anak jati Kedah, Imran Ismail berani berfikir di luar kotak menerobos pasaran dengan idea yang berkisarkan khazanah dan warisan negeri ini sebagai tunjang ceritanya,” katanya.

Sementara itu, Zakaria berharap penggiat seni dan industri kreatif tanah air harus bijak mengambil peluang menerusi bantuan disediakan kerajaan untuk terus berkarya dan menghasilkan produk kreatif walaupun berdepan cabaran Covid-19.

Menurutnya, bantuan berkenaan diyakini dapat memastikan kelangsungan pemain industri selain menjamin masa depan produk kreatif negara.

“Kerajaan perkenalkan inisiatif Dana Pelan Langkah Segera Ekonomi Industri Kreatif (Pelaksana) dan Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (Prisma) untuk membantu industri ini berdepan impak Covid-19.

“Ia banyak membantu memperkasakan semula industri kreatif yang terjejas akibat pandemik itu,” katanya.