Pekerja lari selamatkan diri kilang proses habuk kayu terbakar

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja mengawal kebakaran. - Foto Ihsan bomba
Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja mengawal kebakaran. - Foto Ihsan bomba
A
A
A

BATU PAHAT- Lima pekerja sebuah kilang memproses habuk kayu di Yong Peng, di sini berjaya menyelamatkan diri apabila bahagian pejabat pengurusan kilang itu terbakar dalam kejadian pada Ahad lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Othman Mohd Baher berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang.

Susulan itu, satu jentera LFRT dan satu jentera EMRS dari BBP Yong Peng bersama satu jentera FRT dari BBP Ayer Hitam dan satu jentera water tanker dari BBP Penggaram dengan kekuatan keseluruhan seramai 16 anggota telah dikejarkan ke tempat kejadian.

"Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, kita dapati kebakaran kilang memproses habuk kayu jenis kekal itu melibatkan bahagian pejabat pengurusan kilang dan habuk kayu yang berada di kilang.

"Tindakan operasi pemadaman menggunakan dua aliran tiga pancutan pam jentera LFRTJ1-33 sumber air pili bomba berhampiran dan water tanker J5-10 sehingga api berjaya dikawal," katanya.

Jelasnya, kebakaran itu melibatkan lebih 20 peratus daripada keseluruhan bangunan kilang.

"Semasa kejadian, kilang tidak beroperasi, namun ada beberapa pekerja berada di kilang semasa kejadian dan mereka berjaya menyelamatkan diri.

"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan," katanya.

Artikel Berkaitan: