Tambahan kuota haji, jemaah perlu realistik

Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan wang tunai kepada salah seorang penerima pada Isnin.
Ahmad Marzuk menyampaikan sumbangan wang tunai kepada salah seorang penerima pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Pengumuman tambahan kuota haji oleh Arab Saudi merupakan berita menggembirakan Malaysia namun bakal jemaah perlu realistik berhubung peluang ke tanah suci Makkah berikutan pandemik Covid-19.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini ia juga bergantung kepada perkembangan Covid-19.

"Penambahan kuota jemaah haji Malaysia adalah perkara menggembirakan kerajaan. Cuma yang tinggal lagi berkaitan dengan persiapan ibadah haji pada tahun ini.

"Kuota tambahan ataupun kuota sedia ada 30,000 jemaah itu pun bergantung kepada suasana pandemik Covid-19.

"Saya sebut begini supaya harapan jemaah yang mahu mengerjakan haji itu lebih realistik, kita tak mahu di saat akhir bahawa apabila diumumkan kouta dah ada (tetapi) suasana tidak mengizinkan," katanya kepada pemberita pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 seorang kepada 30 penerima menerusi sumbangan Qaseh Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang di Kedai Buloh.

Mengulas lanjut, Ahmad Marzuk berkata, penambahan kuota terbabit memberi peluangkepada lebih ramai jemaah dari Malaysia untuk ke tanah suci, namun kerajaan perlu membuat penelitian terhadap syarat yang akan ditetapkan pihak Arab Saudi nanti.

"Sama ada hanya perlu setakat suntikan biasa untuk umrah atau haji ataupun ada suntikan tambahan dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Marzuk berkata, pertambahan kouta haji kepada jemaah Malaysia tidak akan terjejas walaupun tugas Muhammad Salleh Benten sebagai Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi ditamatkan.