1.4 juta pendaftaran terima vaksin Covid-19 di MySejahtera tidak lengkap

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA – [DIKEMAS KINI] Seramai 1.4 juta pengguna MySejahtera tidak melengkapkan pendaftaran mereka untuk menerima vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, mereka hanya mengesahkan nama dan kad pengenalan melalui MySejahtera tetapi tidak menjawab soalan berkaitan penilaian kesihatan serta memasukkan alamat tempat tinggal.

“Ini mengakibatkan pendaftaran mereka tidak lengkap. 1.4 juta hanya mengesahkan identiti mereka sahaja.

“Proses pendaftaran yang lengkap diperlukan untuk kita memberi temu janji kepada mereka ini,” katanya dalam sidang akhbar perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang disiarkan secara dalam talian.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Mengulas lanjut, Khairy yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 berkata, beliau juga telah meminta MySejahtera untuk mengenalpasti pengguna yang tidak menjawab penilaian kesihatan dan mengisi alamat tempat tinggal mereka.

“Mereka akan terima sistem pesanan ringkas (SMS) ke telefon bimbit bermula petang ini untuk mengingatkan mereka bagi melengkapkan penilaian kesihatan dan memasukkan alamat tempat tinggal.

“Alamat ini penting untuk dimasukkan disebabkan kita akan memberi temu janji di pusat pemberian vaksin yang paling berhampiran dengan alamat yang anda masuki dalam MySejahtera. Itulah sebab kita minta alamat,” kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kerajaan tidak mengambil alamat kad pengenalan pengguna kerana kebanyakannya tidak tinggal di alamat dalam kad pengenalan mereka.

“Perincian maklumat kita dalam MySejahtera boleh ditukar pada bila-bila masa. Kita akan memberi temu janji pusat pemberian vaksin berdasarkan kepada alamat terakhir yang telah dimasukkan dalam MySejahtera,” katanya.