Satu ladang sahaja terbabit isu telur tercemar: DVS

abatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan hanya satu daripada 10 ladang kepunyaan Lay Hong Berhad iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura sebelum ini.- Gambar hiasan
abatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan hanya satu daripada 10 ladang kepunyaan Lay Hong Berhad iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura sebelum ini.- Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) memaklumkan hanya satu daripada 10 ladang kepunyaan Lay Hong Berhad iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura sebelum ini.

DVS dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu diketahui selepas membuat perbincangan bersama syarikat terbabit pada Ahad.

Menurutnya, syarikat berkenaan turut bersetuju untuk melaksanakan tindakan pembetulan dan pemantauan lebih kerap di samping meningkatkan kawalan biosekuriti.

“Terdapat 10 ladang ayam yang terdiri daripada dua ladang pullet dan lapan ladang ayam penelur milik syarikat Lay Hong Berhad. Namun, hanya satu ladang sahaja iaitu CES 008 yang mengeksport telur ke Singapura,” menurut kenyataan itu pada Ahad.

Pada Sabtu, Singapura telah mengarahkan empat pengimport untuk menarik balik pasaran telur yang dihasilkan dari sebuah syarikat di Malaysia sebagai langkah berjaga-jaga.

Agensi Makanan Singapura (SFA) dalam laman sesawang mereka menyatakan, arahan itu dibuat berikutan penemuan Salmonella Enteritidis (SE) pada produk terbabit yang boleh menyebabkan penyakit disebabkan makanan, jika makanan itu dimakan secara mentah atau separuh masak.

Sehubungan itu, DVS akan menjalankan siasatan lanjut di ladang berkenaan bagi mengenalpasti punca pencemaran SE pada telur.

Menurut DVS, siasatan tersebut termasuklah membuat daya jejak sumber jangkitan SE dan menjalankan penyiasatan penyakit.

Artikel Berkaitan:

"Kami juga akan menyemak rekod pemvaksinan, pengeluaran telur dan rekod program survelan penyakit di ladang.

"Ia termasuk menjalankan pensampelan seperti sampel persekitaran, kloaka, makanan ternakan, air minuman dan telur) untuk pengesanan SE,” katanya.

Dalam kenyataan sama, DVS berkata, telur keluaran ladang CES 008 tidak dibenarkan dijual di pasaran tempatan sebagai telur sajian (table egg) sehingga keputusan siasatan diperoleh.

“Telur daripada ladang ini hanya untuk penghasilan produk telur yang melalui rawatan haba (heat treatment) di kilang pemprosesan syarikat yang terletak di Kapar dan Meru, Selangor,” katanya.

Tambah DVS, penggantungan CES 008 ke Singapura tidak akan menjejaskan pengeksportan lain-lain ladang ke Singapura termasuk bekalan untuk pasaran tempatan.

“Melalui Program Survelan Penyakit Haiwan Kebangsaan, Salmonellosis merupakan salah satu penyakit yang dipantau di semua ladang ayam di Malaysia,” katanya.