Letak pelitup muka bawah dagu kena RM10,000

Seorang lelaki dikompaun RM10,000 kerana meletakkan pelitup muka di bawah dagu selepas keluar dari sebuah kedai runcit di Pekan Tanjung Piandang pada Jumaat.
Seorang lelaki dikompaun RM10,000 kerana meletakkan pelitup muka di bawah dagu selepas keluar dari sebuah kedai runcit di Pekan Tanjung Piandang pada Jumaat.
A
A
A

PARIT BUNTAR - Hanya kerana meletakkan pelitup muka di bawah dagu, seorang lelaki dikompaun RM10,000 selepas keluar dari sebuah kedai runcit di Pekan Tanjung Piandang di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mazuki Mat berkata, tindakan tersebut diambil selepas mendapati lelaki berkenaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.

Menurutnya, penguatkuasaan tersebut berlaku pada jam 1.20 petang ketika anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian sedang menjalankan tugas Op pematuhan SOP PKPB di sekitar kawasan tersebut.

"Hasil pemerhatian yang dilakukan oleh pihak polis mendapati lelaki tersebut gagal memakai pelitup muka dengan sempurna dengan meletakkan pelitup muka di bawah dagu ketika memasuki dan keluar daripada kedai tersebut setelah selesai membuat pembelian.

"Pihak polis menjalankan penguatkuasaan di bawah Seksyen 21A(1) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang telah berkuat kuasa sejak 11 Mac," katanya dalam kenyataan ringkas kepada pemberita pada Ahad.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai gambar surat kompaun yang tular sejak Sabtu mengenai seorang lelaki dikompaun RM10,000 di Tanjung Piandang.

Menurutnya, dari segi jumlah pengurangan kompaun berkenaan ditentukan oleh Pegawai Kesihatan Daerah berkenaan.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya patuh kepada SOP yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan Covid-19 bagi mengelak tindakan dikenakan.

Artikel Berkaitan: