PKR dakwa Xavier diugut kerajaan minoriti

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendakwa peletakan jawatan Ahli Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Xavier Jayakumar sebagai Naib Presiden dan ahli parti itu serta-merta pada Sabtu kerana diugut kerajaan minoriti.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendakwa, wujud usaha tersusun oleh kerajaan minoriti untuk menarik sokongan ahli Parlimen pembangkang dengan cara umpan dan ugutan menggunakan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia SPRM.

"Dr Xavier baru-baru ini telah bertemu pimpinan PKR memaklumkan bahawa pihak SPRM menjadikan beliau sasaran siasatan setelah SPRM sebelumnya menahan setiausaha politik, pembantu peribadi dan beberapa kenalan beliau berkait satu kes yang sedang berjalan.

"Dr Xavier kemudiannya dihubungi seorang menteri kanan yang menyatakan beliau perlu menyokong Perikatan Nasional (PN) atau hadapi akibat yang serius," katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Dr Xavier mengumumkan peletakan jawatannya itu pagi tadi menerusi kenyataan yang dikeluarkan di laman Twitternya.

Menerusi kenyataan itu, beliau turut mengumumkan akan menjadi ahli Parlimen bebas dan menyokong kerajaan PN.

ARTIKEL BERKAITAN: Xavier umum letak jawatan Naib Presiden PKR, keluar parti

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution menegaskan sebagai sebuah parti reformasi, pendirian PKR amat jelas dalam menentang rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran undang-undang tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, dakwa beliau, perkara yang berlaku sekarang menunjukkan instrumen pemerintah sedang diperguna ahli politik kanan dalam pentadbiran PN untuk mengalih sokongan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang kepada PN.

"Ini adalah satu bentuk salah guna kuasa, terutama tatkala kita sedar isu rasuah dan salah guna kuasa yang dilakukan pihak PN seperti tidak diambil tindakan oleh pihak berwajib.

"Amatlah jelas kerajaan minoriti hari ini berlapik dengan alasan darurat dan menggantung Parlimen, namun pada masa sama berusaha mendapatkan sokongan lebih ramai ahli Parlimen dengan cara menggunakan agensi-agensi tertentu melalui taktik umpan habuan, tekanan dan ugutan," katanya.

Saifuddin Nasution berkata, sebagai individu yang lama mengenali Dr Xavier, beliau melihat tindakan dan alasan-alasan Ahli Parlimen Kuala Langat itu meletakkan jawatan menimbulkan pelbagai tanda tanya.

Namun, menurutnya, yang membezakan reformis tulen dengan yang lain ialah tahan diuji pada masa senang dan sukar.

Justeru, Saifuddin Nasution mengulangi gesaan agar semua ahli Parlimen PKR untuk kekal teguh dan istiqamah berpegang kepada prinsip serta landasan perjuangan reformasi tanpa tunduk dengan umpan habuan dan ugutan.

"PKR dan PH akan kekal dengan hala tuju sekarang yakni terus mempertingkat persiapan menuju Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan pada masa yang sama berusaha mengembalikan mandat rakyat sesuai kerangka undang-undang dan perlembagaan," katanya.

Sinar Harian sedang berusaha menghubungi SPRM dan Xavier untuk mendapatkan respons berhubung dakwaan ini.